31 OGOS 2020
BERITA GLOBAL
Sorotan Berita Tahun Aktiviti Penyebaran 2020
Tahun aktiviti penyebaran 2020 telah membawa cabaran baharu kepada Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia. Meskipun demikian, cabaran-cabaran ini membuka peluang untuk saudara saudari kita menunjukkan kesetiaan dan perpaduan mereka.
Cabaran utama disebabkan oleh penularan wabak COVID-19. Virus ini telah membawa masalah dan kesusahan yang tidak pernah dialami oleh generasi ini.
Pada masa yang susah ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah membuat banyak penyesuaian. Contohnya, mereka menggunakan cara yang baharu untuk beribadat, menggalakkan satu sama lain, dan menginjil.
Mari lihat beberapa “berita yang baik” daripada tahun aktiviti penyebaran ini.—Amsal 15:30.
Pengeluaran Bible
Sepanjang tahun aktiviti penyebaran ini, sebahagian atau seluruh Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam 36 bahasa. Disebabkan wabak COVID-19, kebanyakan Bible ini dikeluarkan secara elektronik melalui perjumpaan dalam talian. Sebahagian atau seluruh Terjemahan Dunia Baharu kini didapati dalam 193 bahasa.
Berita Terkini Badan Pimpinan
Bermula 18 Mac 2020, ahli Badan Pimpinan telah menyediakan video istimewa yang berkaitan dengan pandemik ini. Video-video ini disiarkan di jw.org dan aplikasi JW Library.
Dalam video laporan yang pertama, Saudara Stephen Lett mengatakan bahawa pandemik ini menunjukkan kita “hidup pada penghujung hari-hari terakhir. Sememangnya, akhir dunia ini sudah sangat dekat.”
Walaupun pandemik ini membawa banyak stres dan kesusahan, Saudara Lett kata, “Umat Yehuwa tidak akan menjadi panik.”
Setiap video daripada Badan Pimpinan mengandungi pengalaman yang menggalakkan dari serata dunia. Kita melihat manfaat kerana mematuhi arahan Badan Pimpinan. Pegawai kerajaan di banyak tempat juga telah memuji saudara saudari kita kerana menangani situasi ini dengan cepat dan bijak.
Sambutan Peringatan yang Bersejarah
Selama puluhan tahun, Saksi-Saksi Yehuwa berkumpul untuk menyambut Perjamuan Malam Tuan. Tetapi tahun ini, kebanyakan daripada kita tidak dapat berkumpul bersama. Maka, setiap individu atau keluarga harus menyediakan roti dan wain sendiri dan menonton ceramah Peringatan melalui video.
Di sesetengah tempat, perkhidmatan Internet tidak cukup bagus. Maka aturan lain harus dibuat. Contohnya, 11 buah pejabat cawangan di Afrika telah menyiarkan program Peringatan melalui TV dan radio. Aturan ini membolehkan lebih daripada 407,000 penyiar menghadiri program ini. Selain itu, banyak orang yang berminat dapat menikmati program ini.
Perjumpaan melalui TV dan Radio
Selepas program Peringatan disiarkan melalui TV dan radio, Badan Pimpinan mengizinkan beberapa cawangan untuk menyiarkan perjumpaan sidang melalui cara yang sama. Hasilnya, penyiar di kawasan yang tidak dapat menggunakan persidangan video masih dapat menikmati program perjumpaan. Setakat ini, terdapat 23 cawangan di Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara, dan Eropah yang menggunakan cara ini.
Jawatankuasa Bantuan Bencana
Pandemik ini menyebabkan ramai saudara saudari kita susah untuk mendapatkan keperluan asas. Maka, lebih daripada 400 Jawatankuasa Bantuan Bencana di serata dunia telah ditubuhkan untuk menyokong penyiar di kawasan yang sangat memerlukan bantuan. Sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2020, Badan Pimpinan meluluskan lebih daripada 18 juta dolar digunakan untuk membantu sekitar 330,000 penyiar yang mengalami kesusahan akibat COVID-19.
Konvensyen Dalam Talian
Buat pertama kali, saudara saudari telah menonton seluruh konvensyen di rumah sendiri. Ahli Badan Pimpinan dan pembantu mereka telah menyampaikan ceramah konvensyen dalam bentuk rakaman. Video-video ini diterjemahkan ke dalam lebih daripada 500 bahasa, dan disediakan di jw.org dan JW Library.
Saudara Saudari Terus Dianiaya
Selain menghadapi masalah akibat wabak, saudara saudari di beberapa tempat juga dianiaya dengan teruk.
Di Rusia, rumah ratusan Saksi telah diserbu sepanjang tahun lalu. Ramai saudara saudari kita juga telah ditahan. Sekarang, terdapat 42 saudara dan saudari yang dipenjarakan di Rusia, dan dua orang Saksi di Crimea turut dipenjarakan. Sejak larangan dikenakan oleh Mahkamah Agung Rusia pada tahun 2017, lebih daripada 1,000 buah rumah saudara saudari telah diserbu.
Negara yang mempunyai paling banyak Saksi yang dipenjarakan ialah Eritrea. Setakat ini, terdapat 52 orang yang dipenjarakan, termasuk Paulos Eyasu, Isaac Mogos, dan Negede Teklemariam. Tiga orang saudara ini telah dipenjarakan sejak 17 September 1994 kerana enggan menyertai khidmat tentera. Seramai 26 saudara saudari lain pula telah meringkuk dalam penjara selama lebih daripada 10 tahun.
Kita terus berdoa untuk saudara saudari kita yang dipenjarakan. Kita yakin mereka akan menghadapi cubaan ini dengan berani, setia, dan tabah.—Wahyu 2:10.
Tabah Menghadapi Cubaan
Sepanjang tahun aktiviti penyebaran ini, rakan seiman kita terus membuktikan kesetiaan mereka kepada Yehuwa dengan mencari cara baharu untuk menginjil dan menggalakkan satu sama lain. Mereka juga mematuhi arahan pihak berkuasa dan Badan Pimpinan dengan teliti.
Perbuatan mereka menunjukkan kasih mereka terhadap Pencipta. Ketabahan mereka juga akan membantu mereka menghadapi cubaan yang lebih berat pada masa depan.—Yakobus 1:2, 3.