12 APRIL 2022
BERITA GLOBAL
Terjemahan Dunia Baharu Braille Dihasilkan dalam Tiga Lagi Bahasa
Selama beberapa bulan yang lepas, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam Braille tiga bahasa iaitu Jerman, Korea, dan Ukraine. Fail elektronik telah tersedia di laman jw.org. Fail Braille bahasa Korea dan Ukraine dapat digunakan dengan mesin transkrip Braille mudah alih, yang dikenali sebagai notetaker. Manakala fail Braille bahasa Jerman dapat dibaca dengan menggunakan pembaca skrin.
Walaupun orang buta sering kali gunakan bahan audio dan notetaker, ramai masih suka bahan bercetak Braille. Salinan bercetak jilid pertama Bible dalam Braille bahasa Jerman telah pun dihasilkan dan dihantar kepada para penyiar. Manakala salinan bercetak Bible dalam Braille bahasa Korea akan dihantar kepada para penyiar dalam beberapa bulan terdekat. Disebabkan oleh peperangan yang berterusan, kita tidak tahu bila salinan bercetak Bible Braille Ukraine dapat dihantar.
Untuk hasilkan Terjemahan Dunia Baharu dalam Braille, semua teks (termasuk semua rujukan), harus diubah daripada huruf bertulis ke huruf Braille. Alat visual untuk mengajar seperti peta dan gambar rajah, harus diubah ke format yang dapat difahami oleh orang buta.
Seorang saudari buta yang tinggal di Jerman kata, “Saya benar-benar ingat apa yang saya baca dalam Braille. Ini lebih baik daripada sekadar mendengar. Kasih dan keyakinan saya terhadap Yehuwa semakin bertambah.”
Semua Bible Braille dicetak di Wallkill, New York, A.S., dengan menggunakan mesin cetak timbul huruf Braille. Mesin ini mencetak timbul titik-titik Braille pada kertas khas. Selepas itu, ia digabung menjadi jilid-jilid yang dihantar ke pejabat cawangan untuk diedarkan kepada para penyiar. Keseluruhan edisi Terjemahan Dunia Baharu dalam Braille mungkin merangkumi lebih daripada 30 jilid dan memerlukan ruang rak sekitar dua meter (6.6 kaki).
Salah seorang penyalin Braille bagi Bible Korea kata, “Semasa kami fikir bagaimana Bible ini akan bantu saudara saudari yang buta untuk lebih menghampiri Yehuwa dan mendapat kelegaan hati, hal ini buat kami lebih bersyukur kepada Yehuwa.”
Kita yakin bahawa semua edisi Terjemahan Dunia Baharu Braille ini akan memanfaatkan saudara saudari yang buta seraya Yehuwa memenuhi mereka “dengan segala yang baik.”—Mazmur 107:9.