Lompat ke kandungan

11 SEPTEMBER 2024
BERITA GLOBAL

Tujuh Bible Dikeluarkan di Serata Dunia pada Ogos 2024

Tujuh Bible Dikeluarkan di Serata Dunia pada Ogos 2024

Bahasa Ibinda

Pada 2 Ogos 2024, Saudara Carlos Hortelão, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Angola, telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dan buku Kejadian, Rut, Ester, dan Yunus dalam bahasa Ibinda. Pengumuman itu telah dibuat pada hari pertama Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ di Cabinda, Angola. Seramai 953 orang telah menghadiri acara itu. Para hadirin telah menerima pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu. Versi digital Kitab Yunani Kristian dan buku-buku Kitab Ibrani dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Lebih daripada 716,000 orang di Angola menuturkan bahasa Ibinda. Inilah kali pertama penterjemahan Bible dilakukan dalam bahasa itu. Sebanyak 335 penyiar berkhidmat di 13 sidang dan satu kumpulan bahasa Ibinda. Mereka sangat gembira kerana dapat membaca Firman Tuhan dalam bahasa ibunda mereka.

Bahasa Isyarat Zimbabwe

Pada 9 Ogos 2024, Saudara Energy Matanda, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Zimbabwe, telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Zimbabwe. Pengumuman itu dibuat semasa Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ di Harare, Zimbabwe. Sejumlah 405 orang telah menghadiri acara itu. Pengeluaran ini dapat dimuat turun dengan serta-merta di jw.org dan aplikasi JW Library Bahasa Isyarat.

Buku Matius telah dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Zimbabwe pada 2021. Sejak itu, buku lain dalam Kitab Yunani Kristian juga telah disediakan. Terdapat kira-kira sejuta orang yang menggunakan Bahasa Isyarat Zimbabwe, termasuk 377 saudara saudari yang berkhidmat di 11 sidang dan 11 kumpulan bahasa isyarat di seluruh negara itu.

Bahasa Bulgaria

Pada 11 Ogos 2024, Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengumumkan bahawa Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Bulgaria akan dikemaskinikan. Pengumuman itu dibuat semasa Konvensyen Istimewa 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ yang diadakan di Sofia, Bulgaria. Sejumlah 5,418 orang telah menghadiri konvensyen itu. Semasa ceramah terakhir, Saudara Sanderson telah mengeluarkan buku Matius, Markus, dan Lukas. Pengeluaran ini dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Bulgaria telah dikeluarkan buat kali pertama pada 2009. Hari ini, kira-kira 3,000 penyiar berkhidmat di 57 sidang di seluruh Bulgaria.

Bahasa Aja

Pada 16 Ogos 2024, Saudara Bois Sylvain, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Afrika Barat, telah mengeluarkan buku Matius dan Markus dalam bahasa Aja semasa Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ di Djakotomey, Benin. Pengeluaran ini diumumkan kepada hadirin yang berjumlah 631 orang. Seramai 435 orang juga menonton program ini melalui persidangan video di Dewan Perhimpunan yang terletak di Abomey-Calavi, Benin. Pengeluaran ini dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Lebih daripada 1.2 juta orang di Benin dan Togo menuturkan bahasa Aja. Sebenarnya, terdapat dua terjemahan lain bagi Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Aja. Namun, Bible-Bible tersebut tidak mudah didapati dan menggunakan bahasa yang susah difahami. Selain itu, nama peribadi Tuhan, iaitu Yehuwa, telah dikeluarkan. Kini, hampir 1,300 penyiar berkhidmat di 25 sidang dan satu kumpulan bahasa Aja di Benin, serta 12 sidang dan dua kumpulan di Togo. Mereka semua sangat bersukacita dengan Bible yang mempunyai terjemahan yang jelas dan mengembalikan nama Tuhan ke tempat asalnya.

Bahasa Kinyarwanda

Pada 16 Ogos 2024, Saudara Jeffrey Winder, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Kinyarwanda. Saudara Winder mengumumkan pengeluaran ini pada hari pertama Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ Sejumlah 9,908 orang telah menghadiri acara itu di Kigali, Rwanda. Seramai 1,141 orang juga menonton program ini melalui persidangan video dari dua lokasi konvensyen yang lain. Hadirin di semua lokasi telah menerima salinan Bible masing-masing. Edisi digital dan rakaman audio Bible ini juga tersedia untuk dimuat turun melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Lebih daripada 13 juta orang yang menuturkan bahasa Kinyarwanda tinggal di Rwanda. Bahasa Kinyarwanda juga digunakan di negara lain seperti Republik Demokratik Congo, Tanzania, dan Uganda. Seluruh Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Kinyarwanda telah dikeluarkan buat kali pertama pada 2010. Hari ini, terdapat lebih daripada 35,500 penyiar yang berkhidmat di 634 sidang bahasa Kinyarwanda di Rwanda.

Bahasa Sinhala

Pada 16 Ogos 2024, Saudara David Splane, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Sinhala. Pengumuman itu dibuat pada hari pertama Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ Seramai 4,273 orang telah menghadiri acara itu di Colombo, Sri Lanka. Selain itu, sebanyak 1,045 orang turut menonton program ini melalui persidangan video dari bandar Chilaw, Sri Lanka. Hadirin dari kedua-dua lokasi ini telah menerima salinan Bible masing-masing. Pengeluaran ini juga dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam bahasa Sinhala sejak lebih daripada 75 tahun yang lalu. Hari ini, lebih daripada 15 juta penduduk di Sri Lanka menuturkan bahasa ini, termasuk 4,808 penyiar yang berkhidmat di 62 sidang bahasa Sinhala.

Bahasa Wallis

Pada 30 Ogos 2024, Saudara Martin Décousus, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan New Caledonia, telah mengeluarkan seluruh Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Wallis semasa Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ Konvensyen ini diadakan di bandar Nouméa, New Caledonia, dan di kampung Mala’e, Wallis dan Futuna. Program konvensyen juga telah disiarkan melalui persidangan video. Kesemua 317 hadirin telah menerima salinan Bible masing-masing. Pengeluaran ini juga dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam bahasa Wallis pada 2018. Hari ini, terdapat 153 saudara saudari yang berkhidmat di dua sidang bahasa Wallis di New Caledonia dan di Wallis dan Futuna. Mereka sangat gembira dapat menggunakan Bible Terjemahan Dunia Baharu yang lengkap untuk mengongsi berita baik kepada lebih daripada 35,000 penutur bahasa Wallis.