Lompat ke kandungan

1 OKTOBER 2024
BERITA GLOBAL

Tujuh Bible Dikeluarkan di Serata Dunia pada September 2024

Tujuh Bible Dikeluarkan di Serata Dunia pada September 2024

Bahasa Isyarat Itali

Pada 1 September 2024, Saudara Massimiliano Bricconi, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Itali, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Itali. Pengumuman itu dibuat semasa Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan di Rom, Itali. Sejumlah 854 orang telah menghadiri acara itu. Pengeluaran ini dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library Bahasa Isyarat.

Ini merupakan terjemahan Bible penuh yang pertama yang dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Itali. Sejak 1998, Saksi-Saksi Yehuwa telah mula menghasilkan bahan terbitan Bible dalam Bahasa Isyarat Itali. Kini, 845 saudara saudari berkhidmat di 15 sidang, 12 kumpulan, dan 10 prakumpulan Bahasa Isyarat Itali di seluruh Itali.

Bahasa Rutoro

Pada 6 September 2024, Saudara Frederick Nyende, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Uganda, telah mengeluarkan buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes dalam bahasa Rutoro. Pengumuman itu dibuat semasa Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ yang diadakan di Hoima, Uganda. Sebanyak 928 orang yang menghadiri acara itu telah menerima Bible—Berita Baik Menurut Matius. Keempat-empat buku itu dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Sekitar 2.2 juta orang di Uganda menuturkan bahasa Rutoro atau bahasa Runyoro yang mirip dengannya. Kebanyakan terjemahan Bible dalam bahasa-bahasa itu tidak mengandungi nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Kini, terdapat 374 saudara saudari yang berkhidmat di dua sidang bahasa Rutoro dan empat sidang bahasa Runyoro di Uganda. Mereka bersukacita kerana memiliki terjemahan buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes yang jelas dan tepat, serta dapat menggunakannya dalam kerja penyebaran dan perjumpaan.

Bahasa Uygur (Arab) dan Uygur (Cyrillic)

Pada 8 September 2024, pengumuman tentang pengeluaran buku Matius dalam bahasa Uygur (Arab) dan Uygur (Cyrillic) telah dibuat semasa perjumpaan istimewa yang diadakan di pejabat cawangan Kazakhstan di Almaty. Seramai 483 orang telah menghadiri acara itu. Pengeluaran ini dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library dalam bahasa Uygur (Arab) dan Uygur (Cyrillic).

Banyak terjemahan Bible yang terdapat dalam bahasa Uygur (Arab) dan Uygur (Cyrillic) menggunakan bahasa yang kuno dan yang susah difahami pembaca. Kira-kira 11 juta orang menuturkan bahasa Uygur dan sebahagian besar daripada mereka tinggal di Asia. Namun, terdapat juga orang yang menuturkan bahasa Uygur di kawasan Afrika, Eropah, dan Amerika Utara.

Bahasa Lhukonzo

Pada 13 September 2024, Saudara Moses Oundo, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Uganda, telah mengeluarkan buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes dalam bahasa Lhukonzo. Pengumuman itu dibuat semasa Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ yang diadakan di Bwera, Uganda. Sebanyak 925 orang yang menghadiri acara itu telah menerima Bible—Berita Baik Menurut Matius. Keempat-empat buku itu dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Sekurang-kurangnya sejuta orang di Uganda menuturkan bahasa Lhukonzo. Sejak 2001, Saksi-Saksi Yehuwa menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam bahasa Lhukonzo. Kini, terdapat 324 saudara saudari yang berkhidmat di enam sidang bahasa Lhukonzo.

Bahasa Inggeris Liberia

Pada 15 September 2024, Saudara Jethro Barclay, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Liberia, telah mengeluarkan buku Matius dan Markus dalam bahasa Inggeris Liberia. Pengumuman itu dibuat semasa satu program istimewa yang diadakan di Dewan Perhimpunan di Johnsonville, Liberia. Seramai 1,176 orang telah menghadiri acara itu secara bersemuka. Tambahan lagi, semua sidang bahasa Inggeris Liberia di negara itu dapat menonton siaran program itu menerusi persidangan video. Kedua-dua buku itu dapat dimuat turun dengan serta-merta dalam bentuk digital dan audio melalui jw.org dan aplikasi JW Library. Edisi cetakan Bible—Berita Baik Menurut Matius akan disediakan tidak lama lagi.

Walaupun sesetengah buku Bible tersedia dalam bentuk audio, inilah kali pertama buku Bible diterjemahkan dan dikeluarkan dalam bentuk bertulis bagi bahasa Inggeris Liberia. Bahasa rasmi di Liberia ialah bahasa Inggeris, tetapi kira-kira 1.6 juta orang dianggarkan menuturkan bahasa Inggeris Liberia. Kini, terdapat 7,034 saudara saudari yang berkhidmat di 120 sidang.

Bahasa Nahuatl (Guerrero)

Pada 20 September 2024, Saudara Lázaro González, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, telah mengeluarkan buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes dalam bahasa Nahuatl (Guerrero). Pengumuman itu dibuat semasa hari pertama Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan Chilpancingo di Guerrero, Mexico. Seramai 769 orang telah menghadiri acara itu. Selain itu, 742 orang di konvensyen serantau yang diadakan di Tlapa de Comonfort, Mexico, juga menonton program yang sama menerusi persidangan video. Para hadirin di lokasi-lokasi itu telah menerima Bible—Berita Baik Menurut Matius. Keempat-empat buku itu dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Sekitar 250,000 orang di Mexico menuturkan bahasa Nahuatl (Guerrero). Sidang bahasa Nahuatl (Guerrero) yang pertama ditubuhkan pada 1987. Kini, seramai 1,216 saudara saudari berkhidmat di 37 sidang dan 2 kumpulan bahasa Nahuatl (Guerrero) di Mexico.