Lompat ke kandungan

Gambar pandangan dari atas Perhimpunan Teokratik 1946 “Bangsa Gembira” di Cleveland, Ohio, A.S.

2 OGOS 2021
BERITA GLOBAL

Ulang Tahun Ke-75 Konvensyen Antarabangsa Besar-Besaran yang Pertama

Perhimpunan Teokratik “Bangsa Gembira” yang Bersejarah Menjadi Contoh bagi Perhimpunan Masa Depan

Ulang Tahun Ke-75 Konvensyen Antarabangsa Besar-Besaran yang Pertama

Ulang tahun ke-75 Perhimpunan Teokratik “Bangsa Gembira” jatuh pada 4 Ogos 2021. Perhimpunan itu merupakan konvensyen antarabangsa besar-besaran Saksi-Saksi Yehuwa yang pertama. Ia telah diadakan dari 4 hingga 11 Ogos 1946, di sebuah stadium dan dewan berdekatan di Cleveland, Ohio, A.S.

Selepas Perang Dunia Kedua, para saudara mengatur konvensyen yang jauh berbeza dengan konflik tentera yang melanda seluruh dunia. Ribuan saudara saudari dari serata dunia telah berkumpul secara aman di konvensyen itu. Di Amerika Syarikat pada masa itu, ada pemisahan kaum antara orang kulit putih dengan orang kulit hitam. Namun, orang dari segala bangsa dan latar belakang bergaul secara bebas semasa konvensyen itu.

Konvensyen “Bangsa Gembira” merupakan kali pertama 80,000 Saksi berkumpul di satu tempat. Selepas diasingkan kerana perang, saudara saudari kita bersukacita kerana dapat bergaul bersama. Semasa konvensyen itu, terdapat 302 wakil dari 32 negara. Pada Ahad terakhir konvensyen tersebut, Saudara Nathan H. Knorr memberi ceramah yang bertajuk “Pemimpin Kedamaian.”

Tanda di luar stadium yang mengiklankan “Pemimpin Kedamaian,” ceramah umum yang disampaikan Saudara Knorr

Konvensyen itu amat berjaya, namun ada juga cabarannya. Pada hari pertama konvensyen, para saudara yang mengatur acara itu menghadapi masalah besar. Jumlah hadirin di dewan itu jauh melebihi tempat duduknya. Maka, para saudara perlu menggunakan stadium berdekatan untuk memastikan terdapat cukup tempat duduk untuk semua orang semasa sesi malam bermula pada 7:45 malam. Masalahnya, dua perlawanan besbol telah dijadualkan di stadium itu sehingga 6:30 petang.

Semasa perlawanan yang kedua, ribut petir menyebabkan hadirin terpaksa meninggalkan stadium lebih awal. Selepas itu, cuaca bertukar baik, dan 50,000 Saksi dapat memasuki stadium untuk sesi malam.

Saudara Knorr mengumumkan pengeluaran buku “Let God Be True”

Di konvensyen “Bangsa Gembira,” majalah baharu Awake! (Sedarlah!) dan buku “Let God Be True” (Firman Tuhan Sentiasa Benar) telah dikeluarkan. Selain itu, Saudara Knorr mengumumkan rancangan untuk meluaskan tempat percetakan di Brooklyn, New York, A.S., dan juga pejabat cawangan di enam negara lain.

Salah satu acara kemuncak adalah semasa 2,602 orang, iaitu 903 saudara dan 1,699 saudari, dibaptis di Tasik Erie yang berdekatan. Detik istimewa lain termasuk demonstrasi Pembelajaran Menara Pengawal dan Sekolah Penyebaran Teokratik, serta muzik orkestra yang dimainkan oleh 160 pemuzik.

Sesetengah saudara saudari kita bersedia untuk dibaptis

Konvensyen ini telah menjadi contoh bagi konvensyen-konvensyen yang seterusnya. Sebagai contoh, banyak bahagian konvensyen ditubuhkan, seperti bahagian Atendan, Pejabat Pengerusi, Pertolongan Cemas, Pemasangan, serta Hilang dan Jumpa.

Saudara Ron Little kini seorang penatua di Sidang McKeesport, Pennsylvania, A.S. Dia berumur 11 tahun semasa menghadiri konvensyen itu bersama ayahnya dan abangnya. Mereka bertiga tidur di dalam lori untuk kesemua lapan hari konvensyen itu.

Saudara Little ingat dengan jelas pengeluaran majalah Awake!. Dia berkata, “Semasa Awake! dikeluarkan, kami lari sini sana sambil pegang majalah itu. Semua orang cuba tawarkan majalah itu kepada kamu jika kamu tidak pegang majalah itu.”

Saudara Little kini berumur 86 tahun. Dia juga masih ingat bagaimana dia dipenuhi rasa kagum semasa melihat begitu ramai Saksi berkumpul bersama. Dia berkata, “Saya masih ingat saya tidak mahu konvensyen itu berakhir. Betapa baiknya berada di situ.”

Kita amat bersyukur kepada Yehuwa kerana berkati masa kita “berkumpul dan beribadat.”—Imamat 23:2.

 

Program konvensyen Perhimpunan Teokratik “Bangsa Gembira” Saksi Yehuwa di Cleveland, Ohio, A.S., dari 4 ke 11 Ogos 1946

Dua kereta bunyi dengan pembesar suara di atas bumbung dan tanda yang berbunyi, “Bacalah The Watchtower dan Consolation.” Poster pada pintu kereta mengiklankan ceramah umum “Pemimpin Kedamaian”

Dua gadis berdiri di depan kereta bunyi bersama ibu. Gadis-gadis itu menunjukkan terbitan pertama majalah Awake! yang dikeluarkan di Perhimpunan Teokratik “Bangsa Gembira” 1946. Ibu mereka menunjukkan The Messenger, surat khabar yang diterbitkan Watch Tower Bible and Tract Society

Seorang saudara bergambar dengan dua anaknya. Kenderaan mereka dihiasi tanda-tanda yang mengiklankan ceramah umum “Pemimpin Kedamaian”

Para wakil yang menghadiri konvensyen “Bangsa Gembira” di Kaunter Kerja Penyebaran untuk terima pelekat-pelekat yang mengiklankan ceramah umum “Pemimpin Kedamaian”

Para saudara bekerja di Bahagian Perkhidmatan Makanan

Hadirin konvensyen “Bangsa Gembira” 1946 makan di kafeteria

Sekumpulan besar hadirin konvensyen memegang buku baharu “Let God Be True”

Para saudara di luar tempat konvensyen. Ramai antara mereka telah dipenjarakan kerana iman. Saudara Daniel Sydlik (baris depan, paling kanan), yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, juga termasuk antara mereka

Calon-calon pembaptisan duduk di baris hadapan

Pandangan dari atas tempat pembaptisan di Tasik Erie