11 OKTOBER 2019
BERITA GLOBAL
Ulang Tahun Kelima Siaran JW
Selama lima tahun, saudara saudari di seluas dunia telah menikmati program rohani bulanan menerusi Siaran JW. Sememangnya, kita menantikan program yang akan disediakan dalam Siaran JW untuk tahun aktiviti penyebaran 2020 dan tahun-tahun yang seterusnya. Sebelum itu, mari kita lihat beberapa pencapaian yang menakjubkan sejak siaran yang pertama pada bulan Oktober 2014.
Diterjemahkan ke dalam 185 bahasa. Pada mulanya, program bulanan itu hanya tersedia dalam bahasa Inggeris. Kemudian, pada Mei 2015, Badan Pimpinan telah meluluskan projek untuk menterjemahkan program itu ke dalam lebih daripada 40 bahasa. Hasilnya, dalam masa empat tahun sahaja, program itu secara puratanya diterjemahkan ke dalam 185 bahasa.
Menarik minat orang dari serata dunia. Siaran JW direka untuk persaudaraan sedunia. Maka, semakin banyak video telah dihasilkan oleh pasukan video di serata dunia. Siaran itu biasanya diakhiri dengan klip video yang menunjukkan sidang di kawasan terpencil, seperti di Etiopia, Iceland, Mongolia, Saipan, Tuvalu, dan Uganda. Isi kandungan Siaran JW telah disiarkan di 230 buah negara, termasuk kawasan pedalaman yang tidak ada penduduk yang tetap seperti Pulau Heard dan Kepulauan McDonald di kawasan subantartik. Secara purata, kira-kira 8.6 juta orang telah menonton dan memuat turun Siaran JW setiap bulan.
Banyak bahan yang beraneka topik. Lebih daripada 60 jam rakaman asal telah disediakan, dan merangkumi ceramah, temu ramah, pengalaman, berita terkini, dan lakonan semula. Sejak lagu asal yang pertama dikeluarkan, iaitu Hidup Terbaik, video muzik telah menjadi ciri yang tetap bagi siaran bulanan. Lagu-lagu sedemikian diterjemahkan ke dalam 368 bahasa.
Pengacara. Pada mulanya, hanya ahli Badan Pimpinan yang menjadi pengacara bagi setiap program. Kemudian, para pembantu kepada beberapa jawatankuasa Badan Pimpinan turut mengacara program siaran. Terdapat sejumlah 29 saudara yang telah menjadi pengacara atau rakan pengacara bagi siaran bulanan.
Komen-Komen yang Menggalakkan. Seorang saudara dari Amerika Syarikat yang telah mengalami strok yang teruk amat menghargai lagu-lagu asal. Dia berkata, “Lagu yang merdu dan membantu meneguhkan iman terhadap Yehuwa dan Firman-Nya telah membantu saya berfikiran positif dan menangani cabaran dalam hidup. Muzik memang berkuasa. Lagu-lagu rohani ini telah membantu saya memupuk sifat Kristian. Terima kasih untuk pemberian ini!”
Sebuah keluarga di Amerika Syarikat amat sedih kerana anak mereka yang masih muda telah meninggal kerana kanser. Selepas menonton siaran bulan November 2016, mereka menulis, “Air mata berlinang-linang semasa kami menonton video muzik, Tidak Lama Tiba. Kami rasa seperti ibu bapa dalam video itu yang digambarkan di firdaus. Apabila saya berasa saya tidak dapat menanggung kesedihan lagi, Yehuwa bantu kami sedar bahawa Dia memahami perasaan kami dan menguatkan kami agar dapat mengharungi saat yang susah itu. Video itu bagaikan jawapan Yehuwa kepada doa-doa kami.”
Sepasang suami isteri dari Ukraine mengungkapkan kesyukuran mereka bagi siaran bulanan dengan berkata, “Kami berterima kasih kerana menerusi Siaran JW, ahli-ahli Badan Pimpinan menjadi sebahagian daripada keluarga kami!”
Sememangnya, kita bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia menyediakan pemberian ini yang dapat menyatupadukan umat-Nya di seluruh pelosok dunia.—1 Petrus 2:17.