26 FEBRUARI 2021
BERITA GLOBAL
Walaupun Pandemik COVID-19, Saksi-Saksi Yehuwa Menyediakan Bantuan pada Tahun yang Mencatatkan Rekod Bencana Alam Tertinggi
Sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2020, organisasi kita telah menjalankan lebih banyak bantuan kemanusiaan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Lebih daripada 950 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) ditubuhkan di seluruh dunia. Tahun 2020 bukan sahaja terkesan akibat pandemik, tetapi juga kerana peningkatan bencana alam yang sangat dahsyat. DRC menghadapi cabaran untuk segera menyediakan bantuan sambil mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19. Saudara saudari yang merelakan diri untuk memberi bantuan mengatakan bahawa aktiviti tersebut telah menguatkan iman mereka. Berikut adalah beberapa peristiwa yang telah mempengaruhi persaudaraan Kristian kita:
Ribut yang Memusnahkan
Semasa tahun aktiviti penyebaran 2020, sejumlah 126 ribut skala besar telah menjejaskan saudara saudari kita, iaitu peningkatan 11.5 peratus berbanding tahun aktiviti penyebaran 2019. Banyak antara ribut itu mengakibatkan tanah runtuh dan banjir yang teruk.
Contohnya, banyak ribut taufan telah membadai Filipina, menyebabkan ramai saudara saudari terpaksa berpindah.
Hujan lebat di seluruh Nigeria merosakkan ladang dan tanaman saudara saudari.
Korea Selatan mengalami musim monsun yang memusnahkan dan berpanjangan.
Kebakaran Liar yang Meluas
Di banyak negara berlaku kebakaran liar yang teruk, beberapa antaranya merupakan bencana api terbesar yang pernah tercatat.
Misalnya, saudara saudari kita menghadapi gigafire, iaitu kebakaran besar yang menjilat sekurang-kurangnya satu juta ekar tanah (kira-kira 404,686 hektar).
Inilah yang berlaku di Amerika Syarikat.
Gigafire juga menjejaskan saudara saudari kita di Australia.
Bantuan yang Diberikan Secara Selamat dan Berkesan
Semasa berlakunya bencana, organisasi kita menetapkan langkah-langkah pencegahan untuk pemberi dan penerima bantuan supaya mereka tetap selamat.
Saudara Han Chan-hee, yang bantu DRC di Korea Selatan, menceritakan tentang prosedur yang dilakukan untuk melindungi saudara saudari. Dia berkata, “Kami periksa suhu badan semua orang setiap pagi, sentiasa menjarakkan diri antara satu sama lain, mengehadkan bilangan pembantu, dan mengelakkan berkumpul waktu rehat atau makan. Selain itu, semua peralatan dibasmi kuman sebelum dan selepas digunakan.”
Apabila berlaku bencana, ada saudara saudari terpaksa berpindah atau hilang tempat tinggal. Sewaktu Pantai Barat Amerika Syarikat dihambat kebakaran hutan, Saudara Chris Shirah yang bantu DRC, menjelaskan, “Bilangan saudara saudari yang ditempatkan di setiap rumah diawasi dengan baik untuk memastikan kita semua mengikut peraturan berkenaan COVID-19.”
Di banyak tempat, peraturan tentang keselamatan dan pergerakan telah mengehadkan bilangan orang yang dapat pergi membantu. Saudara Philips Akinduro, yang menyokong DRC di Nigeria, menerangkan, “Cabaran besar bagi kita ialah sekatan pergerakan yang ditetapkan [oleh kerajaan]. Jadi susah untuk dapatkan lebih banyak orang untuk datang bantu.”
Saudara Kim Joon-hyeong, yang juga bantu DRC di Korea Selatan, menggambarkan sikap para sukarela, “Kerana didorong oleh kasih kepada Tuhan dan saudara saudari, kita selalu jaga keselamatan semasa beri bantuan. Jadi walaupun perlu ikut banyak langkah pencegahan, kita tetap bersukacita dalam kerja bantuan ini.”
Memberi Bantuan Menguatkan Iman
Usaha untuk beri bantuan walaupun banyak cabaran telah mengukuhkan lagi iman dan keyakinan semua yang terlibat.
Contohnya, Saudara Han khuatir sama ada DRC dapat cari bilangan orang yang cukup untuk memulakan kerja bantuan dalam masa kurang daripada 24 jam. Dia berkata, “Dalam beberapa jam saja, saya sedar bahawa saya tidak perlu risau sebenarnya. Dari seluruh negara, ratusan saudara saudari merelakan diri untuk bantu. Terdapat begitu ramai sehingga kami terpaksa menolak sebilangan [yang ingin bantu].” Dia menambah, “Saya sangat terharu dan benar-benar merasai Yehuwa bersama kita.”
Saudara Brad Benner di Honduras juga menjelaskan perasaannya selepas menyokong kerja bantuan bencana taufan. Dia berkata, “Meskipun dalam keadaan tertekan, saudara saudari kita yang jadi mangsa telah diberikan makanan, tempat tinggal, dan galakan rohani yang diperlukan. Saya menyaksikan dengan mata sendiri bahawa dua ribut taufan, termasuk pandemik juga, tidak dapat menghancurkan kasih persaudaraan dalam organisasi kita.”
Saudara Alquin Dayag, yang membantu DRC di Filipina, membuat kesimpulan begini, “Seluruh pengalaman ini telah bantu saya sedar bahawa Yehuwa memang beri kita kebijaksanaan dan kuasa luar biasa yang diperlukan untuk melakukan kerja bantuan itu.”—2 Korintus 4:7.
Kami sangat menghargai usaha gigih daripada semua pejabat cawangan, DRC, dan ramai saudara saudari yang menghulurkan bantuan. Segala pengorbanan yang pengasih dan sumbangan yang diderma dengan murah hati telah memberi kelegaan kepada banyak orang sepanjang tahun yang telah mencatatkan jumlah bencana tertinggi.—1 Tesalonika 1:3.