Lompat ke kandungan

(Kiri) Di rumah atau Dewan Perjumpaan, kita perlu sentiasa membersihkan permukaan yang sering disentuh; (Tengah) Di beberapa kawasan, para penyiar menginjil melalui cara lain, seperti kesaksian menerusi telefon; (Kanan) Apabila berlakunya wabak, para penatua akan membantu para penyiar menonton program perjumpaan yang telah dirakamkan

3 MAC 2020
BERITA GLOBAL

Perkembangan Coronavirus dan Cara Menghadapinya

Perkembangan Coronavirus dan Cara Menghadapinya

Ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa terus memantau penyakit coronavirus (dikenali sebagai COVID-19) yang semakin merebak. Daripada nubuat Bible, kita tahu bahawa wabak penyakit merupakan salah satu ciri hari-hari terakhir. (Lukas 21:11) Semasa berlakunya hal ini, kita patut mengambil langkah-langkah praktikal untuk melindungi diri dan orang lain.—Amsal 22:3.

Kita pasti ingin mengetahui keadaan rakan seiman kita di kawasan yang mengalami wabak tersebut. Pejabat cawangan dan sidang-sidang di Itali, Jepun, Korea Selatan, dan negara-negara lain perlu membuat penyesuaian yang besar disebabkan penularan COVID-19. Sesetengah pejabat cawangan terpaksa membatalkan lawatan daripada orang luar. Perhimpunan litar di sesetengah negara juga telah dibatalkan kerana pihak kerajaan melarang pertemuan umum. Selain itu, sidang-sidang di sesetengah kawasan juga harus membuat penyesuaian dalam aturan perjumpaan dan kerja penyebaran. Walaupun begitu, saudara saudari terus menjaga kerohanian mereka dan menggalakkan satu sama lain.—Yudas 20, 21.

Dalam situasi sebegini, saudara saudari kita telah mengikut nasihat praktikal di bawah. Nasihat-nasihat itu juga dapat membantu anda dan keluarga jika berlakunya wabak penyakit di kawasan anda.

  • Jangan Panik. Kita memang perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah pencegahan. Tetapi kita tidak perlu terlalu takut sehingga bertindak secara keterlaluan.—Amsal 14:15; Yesaya 30:15.

  • Ikut Arahan dan Nasihat Pihak Kerajaan. Pihak kerajaan biasannya akan mengambil langkah pencegahan dan menetapkan larangan tertentu demi melindungi orang awam. Maka, kita perlu mengetahui dan mematuhi arahan terkini daripada kerajaan.—Roma 13:1.

  • Jaga Kebersihan. Pastikan anda mencuci tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) yang mengandungi alkohol. Di rumah atau Dewan Perjumpaan, kita juga perlu sentiasa membersihkan permukaan yang sering disentuh. Selain itu, pakar perubatan menasihati kita untuk mengelak daripada berjabat tangan agar dapat mengurangkan risiko penyakit merebak. Mengenai penularan coronavirus, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah memberikan beberapa cadangan untuk semua orang.

  • Tunjukkan Kasih kepada Orang. Menghadiri perjumpaan dan kerja penyebaran memang penting. Namun jika anda sakit, adalah lebih baik untuk berehat sahaja di rumah agar tidak menjangkiti orang lain. Dengan berbuat demikian, anda sedang menunjukkan kasih kepada rakan seiman dan orang lain.—Matius 22:39.

  • Ikut Aturan sementara untuk Sidang. Semasa berlakunya wabak, pejabat cawangan mungkin akan membatalkan perjumpaan, perhimpunan, dan aktiviti teokratik yang lain. Hal ini telah dilakukan di sesetengah negara, seperti di Itali, Jepun, dan Korea Selatan. Berdasarkan keadaan tempatan, para penatua mungkin dapat membantu para penyiar untuk menonton program perjumpaan yang telah dirakamkan. Para penyiar juga dapat melakukan kerja penyebaran melalui telefon, SMS, e-mel, atau surat.