Lompat ke kandungan

BERITA GLOBAL

Dipenjarakan kerana Iman Mereka​—Crimea

Dipenjarakan kerana Iman Mereka​—Crimea

Saksi-Saksi Yehuwa di Crimea kini mengalami penganiayaan yang teruk daripada kerajaan Rusia. Di Rusia, badan berdaftar yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa bukan sahaja diharamkan, tetapi kerajaan Rusia juga ingin menghapuskan ibadat mereka yang aman. Sejak sekatan yang dikenakan pada April 2017, banyak perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa telah diserbu oleh pihak berkuasa. Akibatnya, ramai Saksi di Rusia telah ditahan dan dipenjarakan. Taktik yang sama juga digunakan untuk menentang Saksi-Saksi Yehuwa di Crimea.

Serbuan besar-besaran yang pertama di Crimea berlaku pada 15 November 2018. Ketika itu, kira-kira 200 orang pegawai polis dan pasukan gerak khas menyerbu lapan buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Dzhankoy, Crimea. Pada masa itu, para Saksi sedang berkumpul bersama untuk membaca dan membincangkan Bible. Sekurang-kurangnya 35 orang polis yang memakai topeng dan bersenjata menyerbu rumah Sergey Filatov. Ketika itu, terdapat enam orang Saksi berada di rumah Sergey. Mereka sangat terkejut dengan tindakan pegawai polis yang begitu kasar sekali. Seorang saudara yang berumur 78 tahun ditolak dan dihimpit ke dinding. Kemudian dia dipaksa untuk meniarap. Polis menggari tangannya dan memukulnya dengan teruk sekali sehingga dia harus dikejarkan ke hospital. Dua orang saudara yang lanjut usia begitu terkejut sehingga tekanan darah mereka meningkat secara mendadak dan perlu dikejarkan ke hospital. Rumah seorang saudari yang muda juga diserbu. Sedih sekali, dia telah mengalami keguguran semasa serbuan itu dilakukan.

Selepas serbuan itu, Encik Filatov dituduh mengatur kegiatan “organisasi ekstremis” dan didakwa melakukan jenayah menurut Artikel 282.2(1) dalam Kanun Jenayah Rusia. Pada 5 Mac 2020, mahkamah daerah di Crimea menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Encik Filatov. Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, dia terus dibawa ke penjara.

Berikutan serbuan di Dzhankoy pada tahun 2018, pasukan gerak khas telah menyerbu rumah-rumah para Saksi yang disyaki terlibat dalam kegiatan ekstremis. Serbuan yang terkini telah berlaku pada 22 Mei 2023. Pada pukul 6:30 pagi, lebih daripada 10 pegawai (lima orang daripada mereka bersenjata) telah menyerbu rumah seorang Saksi di Feodosia. Mereka mengarahkan para Saksi dalam rumah itu untuk bertiarap di lantai sementara rumah itu digeledah selama lebih daripada tiga jam. Salah seorang Saksi lelaki telah ditahan dan dibawa ke Sevastopol untuk disoal siasat.

Kini, terdapat sembilan Saksi lelaki yang dipenjarakan. Ada antara mereka yang dijatuhkan hukuman penjara sehingga enam tahun setengah. Mereka didakwa atas tuduhan menyebarkan kegiatan organisasi ekstremis.

Garis Masa

  1. 18 Julai 2024

    Sebanyak sembilan orang Saksi-Saksi Yehuwa masih dipenjarakan di Crimea.

  2. 22 Mei 2023

    Pihak berkuasa menyerbu rumah seorang Saksi di Feodosia. Alat-alat elektronik telah dirampas dan seorang Saksi ditahan.

  3. 5 Ogos 2021

    Lapan buah rumah Saksi digeledah. Aleksandr Dubovenko dan Aleksandr Litvinyuk telah ditahan.

  4. 1 Oktober 2020

    Sembilan buah rumah di Sevastopol diserbu. Igor Shmidt ditangkap dan ditahan sebelum perbicaraan.

  5. 4 Jun 2019

    Pasukan gerak khas menyerbu 10 buah rumah di Sevastopol. Kemudian, Encik Stashevskiy didakwa mengatur kegiatan ekstremis.

  6. 20 Mac 2019

    Pasukan gerak khas menyerbu lapan buah rumah di Alupka dan Yalta. Encik Gerasimov disoal siasat dan kemudiannya didakwa mengatur kegiatan ekstremis.

  7. 15 November 2018

    Lebih daripada 200 orang pegawai polis dan pasukan gerak khas di Dzhankoy menyerbu lapan buah rumah Saksi, termasuk rumah Encik Filatov.