Lompat ke kandungan

28 MAC 2018
BERITA GLOBAL

Saksi-Saksi Yehuwa di Seluruh Dunia Menyokong Kempen Menulis Surat ke Rusia

Saksi-Saksi Yehuwa di Seluruh Dunia Menyokong Kempen Menulis Surat ke Rusia

Pada hari Selasa, 21 Mac 2017, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa telah menjemput saudara saudari di seluruh dunia untuk menulis surat rayuan kepada para pemerintah tertinggi di Rusia, yang mengancam untuk melarang kegiatan ibadat Saksi-Saksi Yehuwa di Persekutuan Rusia. Walaupun kita tidak tahu berapa jumlah surat yang sampai ke dalam tangan pemerintah Rusia, sebilangan daripada pengirim surat telah menerima surat balasan rasmi. Meskipun pemerintah Rusia tidak mengendahkan permohonan para Saksi dan menyalahgunakan kuasa mereka untuk menyerang saudara saudari kita, kempen itu telah menyerlahkan perpaduan Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia. Kempen itu juga telah menguatkan semangat rakan seiman kita di Rusia kerana mereka tahu bahawa rakan seiman mereka di seluruh dunia sedang menyokong mereka.—1 Petrus 2:17.

Seorang gadis di Bolivia mengambil bahagian dalam kempen ini.

Banyak Saksi membuat pengorbanan agar dapat menyertai kempen ini. Di sesetengah negara, kos penghantaran surat ke Rusia adalah sangat mahal. Maka, sesetengah Saksi yang lebih berkemampuan telah memberikan sumbangan agar rakan seiman mereka yang kurang berkemampuan dapat mengambil bahagian dalam usaha ini. Ada juga penyiar yang telah meminta bantuan rakan seiman mereka di negara lain untuk mengirimkan surat mereka ke Rusia kerana kos penghantaran surat di situ jauh lebih murah. Banyak saudara saudari berkumpul bersama sanak saudara mereka atau bersama ahli sidang untuk menulis surat. Kemudian semua surat itu dikumpulkan dan dikirimkan sekali gus. Dengan demikian, para penyiar dapat menjimatkan duit dan pada masa yang sama, mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Terdapat beberapa laporan yang menunjukkan bahawa para pekerja dalam bidang perkhidmatan kiriman juga telah menyokong kempen kita. Sebagai contoh, seorang pengurus perkhidmatan bungkusan di Barranquilla, Colombia, menyatakan, “Saya kagum dengan perpaduan yang wujud dalam kalangan ahli-ahli kamu. Kamu semua bersatu padu untuk mengambil bahagian dalam kempen ini. Saya dapat bayangkan bahawa apa yang sedang berlaku di Barranquilla pasti sedang berlaku di kota-kota lain di seluruh dunia. Saya berharap agar semua orang akan sedar betapa pentingnya mesej yang ingin kamu sampaikan.” Ketua di sebuah pejabat pos di Anseong, Korea Selatan, telah membuka kaunter khas bagi Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengirim surat mereka, dan bahkan menyediakan sampul surat untuk pengiriman antarabangsa secara percuma.

Ahli sidang di Guinea berkumpul bersama-sama untuk menulis surat.

Saudara Yaroslav Sivulskiy, seorang jurucakap bagi Saksi-Saksi Yehuwa, menjelaskan, “Semasa saudara saudari di Rusia mendengar bahawa Badan Pimpinan telah mengaturkan kempen menulis surat berskala antarabangsa untuk menyokong mereka, mereka tahu bahawa tidak kira apa kesudahan perbicaraan kes mereka di mahkamah, mereka tidak bersendirian.”

Saudara Mark Sanderson, iaitu salah seorang ahli Badan Pimpinan, menyatakan, “Kempen menulis surat ini telah menonjolkan perpaduan umat Yehuwa. Seraya penghujung sistem ini menjadi semakin dekat, perpaduan adalah sangat penting untuk memperoleh penyelamatan. Semasa kita menunggu untuk melihat apa yang bakal dilakukan oleh Yehuwa untuk saudara saudari kita di Rusia, kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membantu mereka. Kita akan terus berdoa kepada Yehuwa dengan bersatu padu dan beriman bahawa Yehuwa akan selalu menjaga mereka.”—Mazmur 65:2.

 

Austria

Bolivia

Bosnia dan Herzegovina

Denmark

Ecuador

Germany

Ghana

Guatemala

Indonesia

Jepun

Nepal

Romania

Rwanda

Slovakia

Sepanyol

Sri Lanka

Switzerland

Tanzania

Zambia