Lompat ke kandungan

Saudara saudari menyambut satu sama lain semasa program istimewa yang diadakan pada 4 November 2023 di Kerala, India

17 NOVEMBER 2023 | DIKEMASKINIKAN: 8 DISEMBER 2023
INDIA

TERKINI—Lapan Orang Terkorban Akibat Tragedi di India

TERKINI—Lapan Orang Terkorban Akibat Tragedi di India

Pada Sabtu, 2 Disember 2023, seorang saudara yang berumur 76 tahun telah meninggal akibat kecederaan yang dialami semasa kejadian letupan yang berlaku di Kerala, India. Sedihnya, isterinya yang juga mengalami kecederaan turut meninggal lima hari kemudian, iaitu pada Khamis, 7 Disember. Saudara itu merupakan seorang penatua, dan dia bersama isterinya juga berkhidmat sebagai perintis biasa. Sejumlah lapan saudara saudari kita telah terkorban akibat tragedi ini.

Pada Ahad, 29 Oktober 2023, beberapa letupan telah berlaku semasa konvensyen serantau yang diadakan di Kerala, India. Selain daripada tiga orang yang dilaporkan meninggal sebelum ini, seorang lagi saudara dan dua orang saudari turut terkorban. Antara mereka ialah ibu dan saudara kandung seorang budak perempuan yang telah meninggal sebelum ini. Selain itu, 11 orang saudara saudari masih sedang dirawat di hospital.

Pada 4 November 2023, pejabat cawangan India telah mengaturkan satu perjumpaan istimewa untuk melegakan dan menggalakkan rakan seiman yang terkesan. Saudara saudari dari 21 sidang yang menghadiri konvensyen tersebut dijemput untuk menyertai acara ini. Hampir 200 orang telah mendengar program ini secara langsung di sebuah Dewan Perjumpaan. Selain itu, terdapat 1,300 sambungan melalui persidangan video ke program ini. Rakaman juga tersedia bagi mereka yang berada di hospital. Seorang penatua dari pejabat cawangan telah mengupas Mazmur 23:1 dan menonjolkan keprihatinan Yehuwa terhadap setiap penyembah-Nya. Dia menjelaskan, “Dalam ayat ini, pemazmur tidak sekadar kata Yehuwa ialah gembala atau Dia gembala yang hebat. Tapi pemazmur menggunakan ungkapan ‘Engkaulah Gembalaku’ untuk menggambarkan kasih Yehuwa. Kita rasa dilegakan kerana Yehuwa mengambil berat terhadap kita masing-masing!”

Para saudari melegakan satu sama lain

Seorang saudara yang berada di tapak konvensyen semasa kejadian itu kata bahawa dia rasa susah untuk tidur sejak peristiwa itu. Walaupun begitu, dia tetap menawarkan diri untuk membantu rakan seimannya di hospital. Dia kata, “Iman dan sikap saudara saudari yang positif bantu saya melupakan kerisauan saya. Meskipun mereka merana, ramai antara mereka menyanyikan lagu rohani dengan sukacita.” Seorang saudara lain juga menambah, “Saudara saudari kita mungkin perlu ambil masa yang lama untuk kembali ke rutin biasa mereka. Meskipun demikian, saya yakin persaudaraan sedunia kita akan terus menunjukkan kasih kepada mereka. Tuhan kita yang pengasih dan berkuasa sedang pegang tangan mereka. Hal ini sungguh menggalakkan!”

Sebagai sebuah keluarga rohani, kita rasa lega dan yakin bahawa Yehuwa akan terus ‘menyembuhkan orang yang hancur hati dan membalut luka’ saudara saudari kita di India.—Mazmur 147:3.