Lompat ke kandungan

Para saudara membaiki rumah keluarga Nenosaban di Kupang, Indonesia

24 JUN 2021
INDONESIA

Bantuan Bencana di Indonesia Mengukuhkan Kasih Persaudaraan dan Memberi Kesaksian Baik

Bantuan Bencana di Indonesia Mengukuhkan Kasih Persaudaraan dan Memberi Kesaksian Baik

Pada 4 April 2021, Siklon Seroja menyebabkan kerosakan teruk di Indonesia. Bantuan bencana yang diberi bukan sahaja telah membaiki rumah saudara saudari, malahan telah mengukuhkan ikatan kasih persaudaraan dan menggerakkan para pemerhati untuk memuji Yehuwa.

Rumah Saudari Ela Ludjipau, seorang ibu tunggal, telah dibaiki di bawah pengawasan Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC). Dia berkata, “Walaupun saya hidup bersendirian dengan anak-anak, saya tidak pernah berasa keseorangan kerana sokongan yang berterusan daripada saudara saudari saya.” Seorang lagi saudari, Yuliana Baunsele, berkata, “Semasa saya lihat saudara saudari begitu cepat membantu saya selepas bencana itu, saya bertambah yakin bahawa Yehuwa benar-benar mengambil berat terhadap saya.”

Saudara Dicky Thome, seorang ahli DRC berkata, “Kami bersukacita melihat Yehuwa menghulurkan tangan-Nya untuk menolong saudara saudari yang memerlukan bantuan. Hati kami tersentuh melihat betapa bersyukurnya saudara saudari atas bantuan yang diterima. Iman kami juga dikuatkan semasa menyaksikan keyakinan mereka terhadap perlindungan dan bantuan Yehuwa.”

Kasih yang ditunjukkan juga diperhatikan oleh orang lain. Saudara Marsel Banunaek dan keluarganya tinggal di kawasan yang mengalami perpecahan suku. Jiran-jirannya menentang Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, semasa jirannya melihat saudara saudari dari pelbagai suku menghulurkan bantuan kepada keluarganya, sesetengah jiran memberitahunya, “Saksi-Saksi Yehuwa memang berbeza daripada apa yang kami dengar.” Saudara Banunaek menceritakan, “Jiran-jiran kagum melihat kasih dan perpaduan kami. Selain itu, saudara-mara kami telah menyaksikan kebaikan hati persaudaraan kami. Sekarang, mereka menanyakan soalan mengenai kepercayaan kami. Kami amat bersyukur atas persaudaraan yang pengasih ini!”

Keluarga Nenosaban di depan rumah mereka yang dibaiki

Seorang pegawai kerajaan tempatan, Puan Yosi Duli Ottu, memberi komen bahawa operasi DRC dan penekanan DRC terhadap langkah keselamatan COVID-19 “patut dicontohi.” Dia memberitahu DRC, “Saya sangat kagum dengan apa yang kamu lakukan untuk kawan-kawan kamu. Kamu peka dan cepat bertindak untuk membantu mereka yang dilanda bencana. Aturan kamu untuk bantuan bencana sangat baik dan kamu bersedia sepenuhnya untuk membantu mangsa.”

Bencana dapat merosakkan harta benda tetapi tidak dapat mematahkan kasih dan perpaduan Kristian sejati. Betapa gembiranya kita semasa melihat bagaimana “perbuatan baik” mengukuhkan ikatan kasih kita dan menggerakkan orang lain untuk “memuji” Yehuwa!—Matius 5:16.