6 JUN 2022
INDONESIA
Buku Matius dan Markus Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Indonesia
Pada 29 Mei 2022, Saudara Daniel Purnomo, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Indonesia, mengumumkan pengeluaran buku Bible Matius dan Markus dalam Bahasa Isyarat Indonesia. Buku-buku itu dikeluarkan dalam bentuk digital menerusi rakaman program yang disiarkan kepada 2,127 orang penonton.
Sidang bahasa isyarat Saksi-Saksi Yehuwa yang pertama di Indonesia diasaskan pada 14 September 2007, di Jambi, Sumatra. Pada tahun 2011, Saksi-Saksi Yehuwa menterjemahkan tiga bahan terbitan berikut ke dalam Bahasa Isyarat Indonesia: Adakah Anda Ingin Mengetahui Kebenaran?, Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya, dan “Sahabat Tuhan” (You Can Be God’s Friend!). Pada tahun 2011, litar bahasa isyarat yang pertama telah dibentuk, dan merangkumi kawasan seluas kira-kira 3,000 kilometer. Pada tahun 2015, pejabat penterjemahan telah ditubuhkan untuk menyediakan lebih banyak bahan terbitan dalam Bahasa Isyarat Indonesia. Hari ini, terdapat 12 sidang dan 28 kumpulan dan pra-kumpulan bahasa isyarat di Indonesia.
Buku Matius dan Markus ialah buku Bible pertama yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Indonesia. Dalam ceramahnya, Saudara Purnomo berkata, “Buku-buku Bible ini diterjemahkan dengan sangat baik dan penuh dengan emosi. Terjemahan ini akan membantu anda membayangkan watak-watak Bible dengan lebih baik.”
Salah seorang penterjemah berkata, “Bible ini akan bantu saya lebih mengenali Yesus, seolah-olah saya sedang bercakap dengannya secara bersemuka.”
Kita berdoa agar terjemahan ini akan membantu para pengguna Bahasa Isyarat Indonesia untuk terus memandang Firman Tuhan sebagai ‘pelita yang membimbing langkah mereka, dan cahaya yang menerangi jalan mereka.’—Mazmur 119:105.