Lompat ke kandungan

Istana Kehakiman di Rom, yang menempatkan Mahkamah Agung Itali (Supreme Court of Cassation)

9 FEBRUARI 2021
ITALI

Keputusan Mahkamah Agung Itali Berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa dalam Kes Perubatan

Keputusan Mahkamah Agung Itali Berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa dalam Kes Perubatan

Mahkamah Agung Itali (Supreme Court of Cassation) membuat keputusan yang berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa berkenaan hak autonomi pesakit. Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Agung mengesahkan bahawa setiap pesakit mempunyai hak untuk membuat keputusan perubatan bagi diri sendiri, termasuk hak untuk memilih terapi atau rawatan yang tidak bercanggahan dengan hati nurani dan kepercayaan agamanya.

Kes ini berkenaan peristiwa sedih yang berlaku pada 2005 di mana para doktor telah mencabuli hak seorang saudari kita. Sebelum buat pembedahan, saudari kita telah beritahu dengan jelas bahawa dia menolak transfusi darah, secara lisan dan juga secara bertulis dalam Kad Arahan Penjagaan Kesihatan. Tetapi para doktor tidak mengendahkan pilihannya dan telah beri banyak transfusi darah kepadanya.

Mahkamah menyatakan bahawa menolak transfusi darah “bukan hanya suatu penentuan diri dalam konteks penjagaan perubatan, tetapi merupakan sejenis bantahan berdasarkan hati nurani, yang berakar umbi dan didorong oleh prinsip keagamaan.” Mahkamah juga menyatakan bahawa kebebasan memilih sebegini ialah “hak individu yang tidak boleh dicabuli dan yang mendapat perlindungan ‘sepenuhnya’ dalam Perlembagaan.”

Ini merupakan keputusan terkini, daripada 10 keputusan berturut-turut oleh Mahkamah Agung Itali (Supreme Court of Cassation), yang berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa sejak 2015. Dalam setiap kes, Mahkamah mengesahkan aspek-aspek penting dalam hak kebebasan beragama bagi kita. Kes-kes tersebut berkaitan beberapa isu berikut:

  • Menolak transfusi darah: Saksi-Saksi Yehuwa menginginkan rawatan perubatan sedia ada yang terbaik dan menerima kebanyakan daripada rawatan itu. Mahkamah telah mengakui hak pesakit Saksi untuk memilih rawatan perubatan yang selaras dengan hati nuraninya yang dilatih Bible. Pihak doktor mesti menghormati keputusan pesakit untuk menolak transfusi darah. Keputusan itu merupakan penyataan hak kebebasan beragama seseorang pesakit yang sah di sisi undang-undang.

  • Hak penjagaan anak: Ibu atau bapa Saksi mempunyai hak yang sama dengan ibu atau bapa bukan Saksi untuk mendidik anak-anak tentang hal keagamaan.

  • Penyingkiran: Saksi-Saksi Yehuwa tidak memperlakukan individu yang telah disingkirkan dengan tidak adil. Sebaliknya, kebebasan mereka untuk menolak pergaulan dengan orang yang disingkirkan daripada sidang merupakan suatu penyataan hak kebebasan beragama yang mesti dihormati.

  • Cukai: Saksi-Saksi Yehuwa membayar cukai serta menikmati hak dan pengecualian yang sama dengan semua agama lain di Itali mengenai hal pencukaian tempat ibadat.

Kami sangat digalakkan kerana pihak berkuasa membuat keputusan yang melindungi hak umat Yehuwa untuk menjalankan ibadat dengan bebas.—Amsal 21:1.