Lompat ke kandungan

Mahkamah Agung Itali di Istana Keadilan di Rom

1 OKTOBER 2019
ITALI

Mahkamah Agung Itali Menegakkan Hak Ibu Bapa Mengajar Anak tentang Kepercayaan Masing-Masing dalam Kes Hak Penjagaan Anak

Mahkamah Agung Itali Menegakkan Hak Ibu Bapa Mengajar Anak tentang Kepercayaan Masing-Masing dalam Kes Hak Penjagaan Anak

Pada 30 Ogos 2019, Mahkamah Agung di Rom telah membuat satu keputusan yang penting berkaitan dengan hak penjagaan anak. Keputusan mahkamah tertinggi Itali itu menjunjung hak seorang ibu untuk mengajarkan kepercayaannya kepada anaknya yang di bawah umur. Ibu tersebut merupakan seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

Bapa kepada anak itu bukan seorang Saksi. Dia telah berpisah dengan isterinya dan berkeras bahawa anak itu hanya boleh diajar mengikut kepercayaan agamanya. Dua mahkamah rendah telah memihak bapa itu dengan menyatakan bahawa mengajar kepercayaan agama yang lain akan “mengelirukan anak itu.” Keputusan tersebut menyekat hak ibu untuk mengajar anak tentang kepercayaannya. Mahkamah Agung telah membatalkan keputusan mahkamah rendah dan mengesahkan bahawa jika ibu bapa mempunyai agama yang berbeza, mereka berdua berhak untuk mengajar anak tentang kepercayaan masing-masing. Mahkamah itu juga menegaskan bahawa semua aliran agama adalah “sama rata di sisi undang-undang” dan mengutuk keputusan mahkamah rendah kerana bersikap “prasangka” terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Keputusan itu menekankan bahawa walaupun ibu atau bapa tidak bersetuju tentang suatu pendidikan agama bagi anak mereka, seorang hakim tidak berhak menentukan agama mana yang lebih baik untuk anak tersebut.

Kita berharap keputusan Mahkamah Agung itu akan menjadi dasar bagi keputusan pada masa depan mengenai hak penjagaan anak di Itali. Sudah tentu keputusan sedemikian akan membawa manfaat kepada ibu bapa yang bertekad untuk membesarkan anak mereka dengan “disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.”—Efesus 6:4.