Lompat ke kandungan

Lokasi Mahkamah Rayuan di Milan, Itali

12 NOVEMBER 2020
ITALI

Mahkamah Itali Menyokong Hak Ibu Bapa Saksi untuk Menentukan Rawatan Perubatan bagi Anak Mereka

Mahkamah Itali Menyokong Hak Ibu Bapa Saksi untuk Menentukan Rawatan Perubatan bagi Anak Mereka

Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan di Milan, Itali, membuat keputusan yang menyokong pasangan Saksi-Saksi Yehuwa untuk menentukan rawatan perubatan bagi anak mereka. Keputusan ini menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mempersoalkan kebolehan ibu bapa untuk memilih rawatan anak mereka hanya kerana mereka menginginkan rawatan tanpa darah selaras dengan kepercayaan mereka.

Pada September 2019, sebuah pasangan Saksi telah membawa anak perempuan mereka yang berusia sepuluh bulan ke hospital kerana dia terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala. Para doktor telah berjaya melakukan pembedahan ke atas anak itu tanpa menggunakan darah.

Kemudian, apabila anak itu tidak lagi berada dalam keadaan kritikal, seorang doktor meminta kebenaran ibu bapa untuk menjalankan transfusi darah sebagai “rawatan tambahan.” Tetapi, ibu bapa itu meminta supaya rawatan alternatif digunakan.

Doktor itu tidak menghormati permintaan ibu bapa. Sebaliknya, dia menghubungi pihak polis dan pejabat pendakwa raya. Pihak pendakwa raya mendapatkan perintah mahkamah daripada mahkamah keluarga. Maka, mahkamah mengehadkan kuasa ibu bapa, dan memindahkan hak untuk memutuskan rawatan perubatan anak itu kepada pengarah hospital. Walaupun begitu, transfusi darah tidak diberikan kepada anak itu kerana para doktor mendapati rawatan ini tidak diperlukan.

Kejadian ini telah menarik perhatian media di Itali. Namun, terdapat banyak laporan palsu yang menyatakan bahawa anak perempuan ini diselamatkan kerana diberikan transfusi darah atas perintah mahkamah.

Pada 10 September 2020, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan mahkamah keluarga yang mengehadkan kuasa ibu bapa tersebut. Mahkamah Rayuan juga menyatakan bahawa mahkamah keluarga tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal ini dan tidak harus mengeluarkan perintah mahkamah tersebut.

Mahkamah Rayuan Milan menyatakan, “Ibu bapa tersebut menolak transfusi darah kerana kepercayaan agama mereka yang kuat. Hal itu tidak membuktikan bahawa mereka tidak bertanggungjawab dan tidak lagi berhak membuat keputusan bagi anak mereka.” Sepanjang tahun lalu, tiga Mahkamah Rayuan di Itali telah menyokong hak ibu bapa Saksi yang menolak transfusi darah bagi anak-anak mereka.

Pihak perundangan dan perubatan harus memahami bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak menolak rawatan perubatan dan tidak mengamalkan penyembuhan mukjizat. Sebaliknya, mereka berusaha mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik di hospital yang menghormati kepercayaan mereka. Mereka mahu rawatan daripada doktor yang berpengalaman di hospital yang mempunyai peralatan yang baik. Mereka hanya memohon agar doktor tidak menggunakan transfusi darah. Terdapat pakar perubatan di hospital terkemuka di serata dunia yang berusaha memberikan rawatan terbaik tanpa menggunakan transfusi darah.

Kami bersyukur mahkamah-mahkamah menyokong saudara saudari kita yang bertekad untuk memberikan rawatan perubatan yang selaras dengan prinsip Bible bagi anak-anak mereka.—Kisah 15:29.