7 FEBRUARI 2020
ITALI
Mahkamah Rayuan Rom Menyokong Hak Ibu Bapa untuk Memilih Rawatan Tanpa Darah bagi Anak Mereka
Mahkamah juvenil telah menarik hak penjagaan anak daripada saudari kita yang tidak mengizinkan anak lelakinya diberi rawatan transfusi darah. Namun pada 17 Disember 2019, Mahkamah Rayuan Rom telah menyatakan bahawa saudari kita tidak bersalah dan mengembalikan hak penjagaan anak kepadanya. Keputusan ini sangat penting kerana dapat menjadi dasar bagi kes-kes yang serupa pada kemudian hari. Maka para Saksi tidak akan hilang hak penjagaan anak kerana memilih rawatan tanpa darah bagi anak mereka.
Kes itu bermula apabila saudari kita dan anak lelakinya yang berumur 10 tahun terlibat dalam kemalangan jalan raya. Anak lelaki itu cedera dan telah dimasukkan ke hospital. Tiga hari kemudian, para doktor meminta izin untuk melakukan pembedahan atas anak itu. Saudari kita bersetuju dengan pembedahan dan semua rawatan yang dicadangkan. Namun saudari itu menjelaskan bahawa dia tidak setuju dengan rawatan transfusi darah atas anaknya. Walaupun keadaan anak itu tidak kritikal, pihak hospital enggan menerima keputusannya. Mereka menuduhnya mengabaikan kebajikan anaknya kerana agamanya, dan meminta mahkamah menarik hak penjagaan anak daripadanya. Walaupun pihak mahkamah sebenarnya tidak berhak membuat keputusan dalam hal itu, mereka tetap bersetuju dengan permohonan tersebut. Maka saudari kita telah membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan sedar bahawa saudari kita merupakan seorang ibu yang prihatin dan penyayang. Mahkamah menjelaskan bahawa “menolak transfusi darah atas dasar kepercayaan tidak bermaksud bahawa dia mengabaikan anaknya.” Mereka menyatakan bahawa keputusan mahkamah juvenil sebenarnya melanggar undang-undang. Maka saudari kita mendapat semula hak penjagaan anaknya.
Nicola Colaianni, yang merupakan bekas penasihat bagi Mahkamah Agung Cassation dan seorang profesor dalam bidang undang-undang gereja di Universiti Bari, berkata, “Saya setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Saya tidak faham mengapa mahkamah juvenil membuat keputusan sebegitu. Nampaknya, tidak mudah bagi orang untuk mendapat kebebasan beragama, terutamanya bagi Saksi-Saksi Yehuwa.”
Saudara Christian Di Blasio, yang berkhidmat di Bahagian Maklumat Umum di Itali, berkata, “Keputusan yang dibuat sebelumnya telah dipengaruhi oleh prasangka agama, dan kami bersyukur kerana Mahkamah Rayuan Rom membatalkan keputusan itu. Saksi-Saksi Yehuwa amat mengasihi anak mereka, dan mereka menghargai para doktor yang berusaha memberikan rawatan terbaik dan pada masa yang sama menghormati kepercayaan agama kami.”
Mahkamah ini juga menyatakan bahawa saudara saudari kita berhak membuat keputusan mengenai rawatan perubatan anak mereka. Kita bersyukur kerana Yehuwa memberi kita kemenangan dalam hal ini. Sememangnya, kemenangan ini tentu membantu rakan seiman kita untuk memilih rawatan yang tidak mengganggu hati nurani mereka.—Mazmur 37:28.