Lompat ke kandungan

Bangunan pejabat sembilan tingkat yang sedang diubah suai di Bologna, Itali

23 OKTOBER 2019
ITALI

Pembinaan Pejabat Cawangan yang Baharu di Itali

Pembinaan Pejabat Cawangan yang Baharu di Itali

Bangunan untuk Bahagian Penterjemahan yang kini terletak di Imola

Pejabat cawangan Itali akan berpindah dari Rom ke bandar-bandar Bologna dan Imola. Bologna terletak kira-kira 370 kilometer ke utara Rom, dan Imola pula lebih kurang 48 kilometer dari Bologna. Kerja pengubahsuaian pejabat cawangan sudah pun bermula di sebuah bangunan sembilan tingkat yang akan menjadi ruang pejabat. Sejak 2018, lebih daripada 60 pekhidmat sukarela Bethel yang melakukan penterjemahan dan kerja sokongan yang lain telah pun beroperasi di sebuah bangunan yang baru diubah suai di Imola.

Bagi ahli Bethel yang akan berpindah ke Bologna, sebuah pangsapuri tujuh tingkat, yang mempunyai tiga tingkat parkir bawah tanah, sedang didirikan kira-kira satu setengah kilometer dari bangunan pejabat. Bangunan itu akan menjadi tempat kediaman mereka. Di masa depan, tempat tinggal tambahan akan disediakan di kawasan berdekatan.

Lukisan yang menggambarkan pangsapuri tujuh tingkat yang sedang dibina

Pada tahun 1948, Saksi-Saksi Yehuwa memperoleh pejabat cawangan pertama di Rom dan memindahkan semua kerja Bethel ke sana dari Milan. Sejak itu, perkembangan pesat telah berlaku di Itali. Pada pertengahan tahun 1940-an, terdapat kurang daripada 200 penyiar di Itali. Namun, kini angkanya sudah melebihi 250,000 penyiar, iaitu jumlah terbesar bagi mana-mana kawasan cawangan di Eropah. Apabila bilangan penyiar semakin meningkat, bilangan pekhidmat serta bangunan Bethel juga semakin bertambah. Pada 2006, pejabat cawangan Itali merangkumi 99 buah bangunan yang berlainan. Tetapi setelah proses penggabungan dan pemindahan ke Bologna selesai dilakukan, Bethel Itali hanya akan mempunyai lima bangunan sahaja dan jumlah ahli Bethel yang lebih kecil.

Kita berdoa agar Yehuwa terus memberkati projek pembinaan ini. Semoga pejabat cawangan baharu ini akan menyokong kerja penyebaran di Itali, yang bagaikan ladang-ladang “menguning dan siap untuk dituai.”—Yohanes 4:35.