Lompat ke kandungan

Salah satu bangunan kediaman baharu bagi Projek Pemindahan Cawangan Itali di bandar Bologna. Bangunan ini mempunyai 41 buah pangsapuri. Penghuni mula berpindah masuk pada 5 September 2020

16 NOVEMBER 2020
ITALI

Projek Pemindahan Cawangan Itali Diteruskan biarpun Menghadapi Cabaran

Projek Pemindahan Cawangan Itali Diteruskan biarpun Menghadapi Cabaran

Projek pemindahan cawangan Itali ke bandar Bologna diteruskan biarpun menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan. Pada 5 September 2020, bangunan kediaman yang pertama telah siap dibina. Projek pembinaan pejabat cawangan yang baharu ini akan dijangka siap pada tahun 2023.

Jawatankuasa Projek Pembinaan (CPC) yang terdiri daripada lima orang saudara menyelia kerja pembinaan ini. Sebuah syarikat pembangunan telah diupah untuk membuat reka bentuk dan membina bangunan kediaman itu. Projek itu bermula pada September 2018.

Pada tahun 2019, krisis ekonomi telah berlaku. Oleh itu, syarikat pembangunan terpaksa menghentikan kerja dan mengatur semula projek ini. Kita bersyukur kerana pembinaan struktur bangunan kediaman itu sudah siap. Maka, gangguan itu tidak berlanjutan untuk masa yang lama.

Bahagian dalam sebuah pangsapuri

Pada awal tahun 2020, pandemik COVID-19 melanda bahagian utara Itali, termasuk bandar Bologna. Pihak berkuasa tempatan dan kerajaan Itali telah menangguhkan banyak aktiviti di bandar ini, termasuk projek pembinaan. Namun, selepas sebulan, pihak berkuasa telah menamatkan sekatan tertentu. Maka, kerja pembinaan boleh diteruskan dengan adanya panduan kesihatan dan arahan keselamatan COVID-19 daripada organisasi kita.

Saudara Paolo Comparato, seorang ahli CPC, mengatakan, “Kami berterima kasih kepada Yehuwa kerana membantu kami menyiapkan bangunan ini. Tanpa kuasa suci-Nya, kami pasti tidak dapat mengatasi cabaran yang dihadapi.”

Puan Cristina Dallacasa, pengerusi syarikat pembangunan yang bertanggungjawab atas projek ini, berkata, “Kami berbesar hati kerana Saksi-Saksi Yehuwa telah memilih syarikat kami untuk membina salah satu bangunan yang terpenting bagi mereka di Itali. Kami dapat bekerjasama untuk mengatasi apa saja cabaran yang dihadapi semasa pembinaan. Saksi-Saksi Yehuwa sangat mengambil berat tentang projek ini, terutamanya keselamatan orang yang bekerja di tapak pembinaan.” Dia menambah, “Yang terpenting, saya sangat gembira kerana dapat mengenal sekumpulan orang yang jujur dan boleh dipercayai. Hal ini sangat menggalakkan kerana kita mengalami masalah sosial dan ekonomi sekarang.”

Kami yakin bahawa Yehuwa akan terus menyokong projek ini supaya nama-Nya dimuliakan.—Mazmur 127:1.