Lompat ke kandungan

Bekas penjara di Gaeta, Itali. Sesetengah saudara kita dipenjarakan di sini kerana berpendirian neutral

9 JULAI 2020
ITALI

Saksi-Saksi Yehuwa Menyumbang kepada Perkembangan Undang-Undang di Itali

Saksi-Saksi Yehuwa Menyumbang kepada Perkembangan Undang-Undang di Itali

Seperti di kebanyakan negara, Itali juga mengakui hak rakyatnya untuk menolak khidmat tentera atas dasar kepercayaan agama. Tapi hakikatnya, hal ini bukanlah begitu sebelum ini. Perubahan ini dapat dicapai kerana usaha dan pengorbanan yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

Bertahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, undang-undang Itali menuntut agar para lelaki mendaftarkan diri sebagai askar. Pada tahun 1946, hanya terdapat 120 orang Saksi-Saksi Yehuwa di Itali. Tetapi seraya masa berlalu, semakin ramai orang telah mengenali Yehuwa dan membaktikan diri kepada-Nya. Maka jumlah pemuda yang telah menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani juga semakin meningkat. Pendirian mereka adalah berdasarkan ajaran Bible yang mengatakan bahawa orang Kristian harus bersikap neutral, menjauhi keganasan, dan mengasihi orang lain.

Baru-baru ini pejabat cawangan Itali telah menjalankan satu tinjauan. Laporan tinjauan itu menunjukkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 14,180 saudara yang masih hidup, yang pernah dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera. Kebanyakan daripada mereka telah dijatuhkan hukuman antara tahun 1965 dan 1998, dan jumlah tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan atas mereka ialah 9,732 tahun.

Sergio Albesano, seorang sejarawan di Turin, Itali, mengatakan bahawa “kebanyakan pemuda yang dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera merupakan Saksi-Saksi Yehuwa.” Dia juga menambah bahawa keteguhan mereka telah “membantu orang ramai sedar akan ketidakadilan yang sedang berlaku.”

Bekas Perdana Menteri Giulio Andreotti pernah berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan sewaktu dia berkhidmat sebagai menteri pertahanan pada 1960-an. Setelah itu, dia menulis, “Saya sangat kagum dengan keteguhan dan pendirian mereka. Mereka berpegang kepada kepercayaan agama mereka dan tidak mahu terlibat dalam hal-hal politik. Oleh sebab itu, mereka tidak ingin menyertai khidmat tentera dan sanggup dipenjarakan selama bertahun-tahun.”

Pada 1972, Itali telah meluluskan undang-undang pertama yang membolehkan rakyat menolak khidmat tentera. Walaupun terdapat khidmat awam alternatif, para Saksi tidak boleh menerimanya kerana khidmat itu masih di bawah pengawasan pihak tentera.

Pada 8 Julai 1998, kerajaan Itali telah menyediakan khidmat awam alternatif yang tidak berkaitan dengan pihak tentera dan dapat diterima oleh para Saksi. Kemudiannya pada Ogos 2004, undang-undang yang menyatakan bahawa rakyat tidak lagi diwajibkan untuk mendaftar sebagai askar telah diluluskan di Itali. Undang-undang itu telah mula berkuat kuasa pada Januari 2005.

Disebabkan pendirian para Saksi, hal ini telah menyumbang kepada perkembangan undang-undang di Itali. Sergio Lariccia, seorang peguam dan profesor undang-undang di Sapienza University of Rome, berkata, “Pada masa itu, paderi-paderi tentera menganggap bahawa menolak khidmat tentera ialah satu tindakan yang menghina tanah air sendiri. Mereka berkata bahawa perbuatan itu tidak berkaitan dengan perintah Bible untuk menunjukkan kasih. Mereka juga menganggap orang yang menolak khidmat tentera sebagai pengecut. Tetapi para Saksi tidak berputus asa. Oleh sebab itu, mereka telah membantu mengubah pandangan masyarakat di Itali dan menyumbang kepada penggubalan undang-undang yang baharu.”

Pendirian Saksi-Saksi Yehuwa bukan hanya mempengaruhi perkembangan undang-undang di Itali, tetapi juga telah membantu sesetengah pengawal penjara untuk mengenali kebenaran dan menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Salah seorangnya ialah Giuseppe Serra. Dia berkata, “Teladan pemuda Saksi telah mendorong saya . . . untuk mula mempelajari Bible.” Pada tahun 1972, dia telah menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa. (Lihat kotak di bawah.)

Kita sangat bangga melihat teladan baik saudara-saudara kita dan keluarga mereka, serta rakan seiman di seluas dunia yang berusaha menerapkan prinsip Bible untuk ‘tidak belajar berperang lagi.’—Yesaya 2:4.