9 APRIL 2020
ITALI
Saudara Saudari di Itali Tetap Teguh Secara Rohani semasa Wabak Menular
Itali merupakan salah sebuah negara yang paling serius dilanda wabak COVID-19. Di bawah arahan Badan Pimpinan, pejabat cawangan Itali telah menjaga keperluan rohani dan fizikal saudara saudari kita.
Tiga Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) telah ditubuhkan untuk menjaga keperluan rakan seiman di bahagian utara, tengah, dan selatan Itali. Para penatua sering memaklumkan penyelia litar tentang keadaan saudara saudari kita. Bahagian DRC pula akan berhubung dengan para penyelia litar untuk mendapat maklumat terkini tentang keperluan para penyiar.
Selain menawarkan bantuan praktikal, para penatua juga memastikan saudara saudari dapat menyertai perjumpaan dan kerja penyebaran. Saudara Villiam Boselli, seorang penyelia litar dekat Milan (salah sebuah bandar pertama yang dilanda wabak) berkata, “Walaupun saudara saudari harus duduk di rumah, mereka sering berhubung dengan satu sama lain. Mereka juga dapat saling menggalakkan melalui komen-komen mereka semasa perjumpaan. Bahkan saudara saudari yang lanjut usia juga sangat digalakkan oleh perjumpaan melalui videoconference. Saya rasa sekarang sidang lebih bersatu padu daripada sebelum ini.”
Tambahan lagi, banyak saudara-mara yang bukan Saksi kini menyertai perjumpaan. Seorang saudari berkata, “Dulu, suami saya tidak mahu menghadiri perjumpaan. Tetapi sekarang dia dapat menonton perjumpaan di rumah dan dia sangat suka perjumpaan kita.”
Saudara saudari juga menggunakan setiap kesempatan untuk memberikan kesaksian. Sebagai contoh, seorang saudari telah menawarkan diri untuk membawa kerusi roda ke rumah seorang saudari lanjut usia. Dalam perjalanannya, dia harus berhenti kerana terdapat sekatan jalan raya oleh pihak polis. Saudari kita menunjukkan permit perjalanan dan menjelaskan bahawa dia sedang membantu seorang wanita lanjut usia. Kemudian, dia menawarkan risalah Apakah yang Akan Terjadi pada Masa Depan? dan Adakah Kita Akan Terus Menderita? kepada mereka. Ketiga-tiga orang polis itu menerimanya. Dalam perjalanan pulang, polis-polis itu menahan saudari kita lagi. Mereka mengucapkan terima kasih kepada saudari kita dan meminta maklumat tambahan tentang Bible. Mereka juga menjemput dua orang polis yang lain untuk menyertai perbualan mereka. Saudari kita sangat gembira kerana dapat menunjukkan laman web jw.org kepada mereka. Salah seorang pegawai polis itu berkata, “Puan, terima kasih banyak. Kami sangat gembira dapat jumpa kamu hari ini.”
Saudara Boselli kata, “Saya berusaha memberikan galakan dan kelegaan kepada saudara saudari. Tetapi, akhirnya saya pula yang rasa digalakkan. Saudara saudari tetap teguh secara rohani dan bertekad untuk terus menyembah Yehuwa. Kasih mereka yang tulus kepada Yehuwa sangat menyentuh hati saya. Mereka memang kurniaan yang berharga daripada Yehuwa, dan kami memerlukan satu sama lain.”
Sememangnya, saudara saudari kita tetap teguh secara rohani dan tidak “digoyahkan oleh kesengsaraan sebegini.”—1 Tesalonika 3:2, 3.