26 MEI 2020
ITALI
Temu Ramah Bersama Doktor Bahagian Kecemasan di Itali
Saudara Giandomenico Gullà, merupakan seorang doktor bahagian kecemasan di hospital di Erba, dekat Como, Itali. Pandemik COVID-19 telah mendatangkan banyak cabaran baginya. Namun imannya telah membantunya untuk tetap tenang, dan hasilnya dia dapat melegakan orang lain. (2 Korintus 1:4) Hal ini jelas dilihat daripada pengalaman-pengalaman yang dikongsinya semasa temu ramah bersama Bahagian Maklumat Umum di pejabat cawangan Itali.
Berikut merupakan sebahagian daripada temu ramah bersama Saudara Gullà, yang telah disunting agar pengalamannya menjadi lebih jelas.
Boleh saudara ceritakan sesetengah perkara yang kamu hadapi semasa pandemik ini?
Giandomenico Gullà: Saya rasa apa yang berlaku di hospital tempat saya bekerja seolah-olah seperti tsunami. Semuanya berlaku dengan tiba-tiba. Seluruh hospital mengalami perubahan agar dapat tubuhkan sebuah bahagian khas untuk merawat pesakit COVID-19. Keadaannya sangat menyedihkan. Pesakit diasingkan dan tidak boleh berjumpa dengan keluarga, saudara-mara, atau kawan mereka. Jadi sayalah yang akan menghubungi keluarga mereka untuk memaklumkan keadaan pesakit. Pada suatu malam, saya perlu memberitahu seorang anak bahawa keadaan ibunya semakin tenat. Saya hubungi dia menggunakan panggilan video agar anak itu dapat lihat ibunya buat kali terakhir, walaupun masa itu ibunya sudah tidak sedarkan diri. Itu memang saat yang sangat pilu.
Bagaimanakah pengetahuan Bible telah melegakan kamu?
GG: Saya selalu nampak rakan kerja saya dalam keadaan sangat tertekan. Tapi pembelajaran Bible peribadi bantu saya untuk tetap tenang. Saya benar-benar dapat rasakan bahawa Yehuwa sudah lama persiapkan kita untuk hadapi masa kesusahan. Saya tahu pandemik ini merupakan salah satu bukti nubuat Bible sedang jadi kenyataan. Ini bantu saya untuk tidak begitu tertekan, dan iman saya juga telah dikuatkan.
Bagaimanakah kelegaan yang kamu terima daripada Yehuwa bantu kamu untuk melegakan orang lain?
GG: Kuasa suci Tuhan benar-benar telah menguatkan saya semasa di tempat kerja dan semasa bersama keluarga saya. Kuasa itu membolehkan saya menyokong saudara saudari yang mengalami kesusahan disebabkan wabak ini.
Bolehkah kamu jelaskan bagaimana Yehuwa membantu kamu untuk melegakan keluarga kamu?
GG: Walaupun saya perlu bekerja untuk masa yang panjang di hospital, saya berusaha untuk kekalkan rutin rohani yang baik bersama keluarga saya. Saya dapat lihat bahawa itu telah menguatkan isteri saya dan membantu kami lebih bersatu. Penyembahan keluarga kami juga melegakan anak kami, Ginevra, yang berumur tiga tahun. Dia dapat rasakan bahawa keadaan sudah berubah, dan itu mula membuatnya berasa takut. Dia akan kata, “Saya tidak mahu ayah pergi kerja sebab ada coronavirus,” atau “Saya takut ayah tidak akan pulang.” Jadi untuk melegakannya, kami akan mainkan lagu-lagu asal. Bila dengar lagu-lagu itu, dia akan terus tersenyum.
Bolehkah kamu ceritakan bagaimana kamu telah melegakan salah seorang rakan kerja kamu?
GG: Baru-baru ini seorang rakan kerja yang bekerja di bahagian yang sama dengan saya mula belajar Bible. Beberapa tahun dulu saya pernah kerja di sebuah hospital. Di situlah kami berjumpa dan kami ada cakap tentang Bible. Sebelum berlakunya pandemik ini, dia baru mula belajar Bible, dan dia putuskan untuk terus belajar. Sekarang kami belajar guna videoconference, dan kadang-kadang dua kali seminggu. Saya sangat tersentuh bila dia kata, “Pembelajaran Bible bantu saya ada kehidupan lebih baik. Saya tidak terlalu khuatir. Saya mendapat jawapan kepada banyak soalan tentang kehidupan manusia dan situasi yang berlaku sekarang. Iman saya bantu saya untuk tetap tenang dan berharap pada masa depan yang cerah.”
Bagaimanakah kamu dapat melegakan saudara saudari di sidang?
GG: Sedihnya, seorang saudari di sidang saya, [Saudari Daniela Sgreva] telah disahkan positif COVID-19 dan perlu dipindahkan ke hospital. Saya hubungi dua orang saudara yang mempunyai kereta ambulans, dan kami membuat aturan untuk memindahkan saudari kita ke hospital. Saudara-saudara itu sanggup membuat perjalanan lebih 50 kilometer untuk membantunya. Dia sangat gembira apabila lihat saudara itu. Walaupun situasi di hospital menakutkan, dia rasa lega bila jumpa kami di bilik kecemasan. Oleh sebab saya dan saudara-saudara itu ialah ahli perubatan, dia rasa gembira kerana dia tahu dia tidak perlu bersendirian di hospital ini. Dia rasa dikuatkan apabila fikirkan kasih sayang dan sokongan yang diterimanya daripada semua rakan seiman. Dengan rasa syukur, dia kata, “Saya tahu Yehuwa memang faham dan prihatin terhadap kita. Tapi kali ini, cara Yehuwa membantu saya benar-benar di luar jangkaan saya!”
Setiap hari, saya semakin bergantung pada Yehuwa dan memohon kekuatan-Nya. Apabila saya pergi kerja dan balik kerja, saya dengar lagu-lagu asal, yang menguatkan saya secara emosi dan rohani. Saya bersyukur atas segala bantuan Yehuwa. Semasa saya dengar lagu Yehuwa Bersama Kita, saya akan kata pada diri sendiri, “Yehuwa ’kan bersamaku; membantu dan mengajarku ’tuk tetap setia.”