18 JULAI 2019
ITALI
Mahkamah Agung Itali Menjunjung Hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk Memilih Rawatan Kesihatan
Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Agung Itali, iaitu mahkamah yang tertinggi di negara itu, membuat keputusan yang menyokong hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk memilih rawatan kesihatan sendiri. Mahkamah juga menyatakan bahawa seorang pesakit mempunyai hak untuk memilih seorang wakil yang akan memastikan bahawa keputusannya untuk menolak transfusi darah dihormati. Selain itu, mahkamah Itali menyatakan bahawa menurut undang-undang Itali, wakil seorang pesakit boleh membuat keputusan untuk si pesakit yang hampir dalam keadaan tidak sedar atau tidak dapat membuat keputusan kerana keadaannya.
Keputusan mahkamah ini dibuat untuk kes Saudara Luca Cappelli, seorang penatua. Selama 25 tahun, dia mempunyai masalah pembuluh darah di otak. Saudara Cappelli perlu menjalani pelbagai prosedur perubatan, dan kadangkala, hal itu menjejaskan kebolehannya untuk berkomunikasi dengan orang lain. Sebelum dia menjalani rawatan, dia telah mengisi kad Arahan Penjagaan Kesihatan dan melantik isterinya, Francesca, sebagai wakilnya. Tetapi, seorang hakim dan sebuah mahkamah rayuan tidak mengakui Francesca sebagai wakilnya. Keputusan mereka membuat Saudara Cappelli kehilangan haknya untuk menolak transfusi darah.
Kes Saudara Cappelli dibawa ke Mahkamah Agung pada 16 Februari 2017. Mahkamah Agung menyatakan bahawa mahkamah-mahkamah yang lebih rendah telah melanggar Perlembagaan Itali dan Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah, yang melindungi hak pesakit untuk membuat keputusan sendiri. Yang menariknya, Mahkamah Agung menyatakan bahawa hak seorang pesakit “sangat penting dan perlu dilindungi dan dijamin, terutamanya jika keputusannya dibuat atas dasar agamanya.” Dengan adanya keputusan daripada Mahkamah Agung ini, semua mahkamah di Itali wajib menghormati hak saudara saudari kita untuk menolak transfusi darah.
Sebagai orang Kristian yang bersatu padu, kita bersukacita kerana Mahkamah Agung telah mengambil tindakan untuk melindungi hak saudara saudari kita di Itali yang menolak transfusi darah kerana mengikut hati nurani mereka yang dibimbing oleh prinsip Bible.—Kisah 15:29.