Lompat ke kandungan

26 SEPTEMBER 2019
ITALI

Acara di Itali untuk Memperingati Saksi-Saksi Yehuwa yang Dianiaya oleh Nazi dan Fasis

Acara di Itali untuk Memperingati Saksi-Saksi Yehuwa yang Dianiaya oleh Nazi dan Fasis

Plak yang dipasang di Risiera di San Sabba, Trieste. Di kem konsentrasi, Saksi-Saksi Yehuwa memakai baju seragam dengan lencana segi tiga ungu

Pada 10 Mei 2019, para pegawai kerajaan, ahli sejarawan, wartawan, dan ratusan pengunjung yang lain telah menghadiri sebuah acara perasmian plak penghargaan untuk mengingati ribuan Saksi yang dianiaya oleh pihak Nazi dan Fasis. Acara ini diadakan di Trieste, bahagian timur laut Itali, di sebuah bangunan yang bernama Risiera di San Sabba. Dahulunya, bangunan itu merupakan kilang beras dan kemudian menjadi satu-satunya kem konsentrasi di Itali yang memiliki krematorium. Media tempatan dan media nasional telah meliputi acara itu, termasuk Canale 5, salah sebuah stesen TV yang paling terkenal di Itali.

Christian Di Blasio, seorang jurucakap Saksi-Saksi Yehuwa di Itali, membuka acara itu dengan menyampaikan ceramah tentang kesetiaan. Dia berkata, “Semasa pemerintahan Nazi, Saksi-Saksi Yehuwa ialah satu-satunya kumpulan yang dianiaya kerana agama mereka. Mereka juga merupakan satu-satunya kumpulan yang ditawarkan peluang untuk dibebaskan jika mereka menyangkal iman mereka dan menyokong pihak Nazi. Namun, mereka tetap setia kepada Tuhan dan mengasihi orang lain.” Kemudian, Saudara Di Blasio menunjukkan sebuah video temu ramah dengan Saudari Emma Bauer. Saudari itu menceritakan penderitaan yang dialaminya bersama keluarganya semasa Perang Dunia Kedua. Dia menjelaskan bahawa orang Kristian sejati tidak akan menyangkal kepercayaan mereka biarpun diancam maut. Akhirnya, datuk bandar Trieste, iaitu Roberto Dipiazza, menyampaikan kata-kata penutupan kepada hadirin. Dia berkata, “Saya gembira akhirnya kita dapat merasmikan plak penghargaan ini. Kita harus berusaha agar penganiayaan sedemikian tidak berlaku lagi.” Setelah itu, kain yang menutupi plak itu telah dibuka sebagai tanda perasmian.

Ramai cendekiawan dan tokoh masyarakat memberikan komen tentang acara itu. Misalnya, Giorgio Bouchard, bekas presiden Federation of Evangelical Churches di Itali berkata, “Selain Saksi-Saksi Yehuwa, tiada agama lain yang mempunyai begitu ramai ahli yang sanggup mengorbankan nyawa demi kepercayaan mereka. . . . Namun, pengalaman pahit itu telah mengukuhkan mereka. Saksi-Saksi Yehuwa sudah membuktikan kepada dunia, dan kami yakin mereka juga membuktikan kepada Tuhan, bahawa merekalah satu-satunya gereja Kristian yang menentang falsafah kerajaan Nazi.” (Untuk komen tambahan, sila lihat kotak di bawah.)

Setiap tahun, kira-kira 120,000 orang dianggarkan akan melawat Risiera di San Sabba. Di situ, mereka dapat melihat plak yang dibuat untuk mengenang pengorbanan ribuan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka tetap setia dan neutral dari segi politik meskipun dianiaya oleh Nazi dan Fasis.—Wahyu 2:10.