30 JULAI 2024
JEPUN
Saksi-Saksi Yehuwa dari Tujuh Negara Menyertai Kempen Istimewa di Osaka dan Tokyo, Jepun
Pada 13 Mei hingga 2 Jun 2024, ribuan Saksi-Saksi Yehuwa di Jepun telah menyertai kempen penyebaran istimewa di daerah bandar raya Osaka dan Tokyo. Selain itu, kira-kira 350 Saksi dari Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Kanada, Korea Selatan, New Zealand, dan Perancis juga dijemput untuk menyokong kempen ini.
Lebih daripada 15 juta orang tinggal di Tokyo dan Osaka. Penyiar tempatan bekerjasama dengan saudara saudari yang dijemput dalam pelbagai jenis aktiviti penyebaran. Mereka dapat berbual dengan ramai orang dan memulakan beberapa pembelajaran Bible.
Semasa seorang saudari membuat kesaksian rak, dia berdoa agar dia dapat berbual dengan seseorang yang berminat untuk belajar Bible. Tidak lama selepas itu, seorang lelaki menghampirinya dan beritahu saudari kita bahawa dia ingin belajar lebih banyak tentang Bible. Oleh kerana bahasa ibundanya ialah bahasa Cina, saudari kita buat aturan agar seorang saudara tempatan yang menuturkan bahasa Cina mengunjunginya. Selepas dua hari, lelaki tersebut telah menyertai perjumpaan kita.
Seorang saudari yang menginjil dari rumah ke rumah tanya seorang wanita jika dia ingin melihat video Mengapa Belajar Bible? Wanita itu pun setuju. Selepas itu, wanita itu kata, “Saya pun selalu fikir tentang soalan-soalan dalam video ini!” Wanita itu menerima tawaran untuk belajar Bible dan hadir perjumpaan sidang yang seterusnya dengan saudari kita.
Kempen ini juga memberi peluang kepada saudara saudari dari serata dunia untuk menikmati pergaulan yang membina. Aika, seorang saudari yang berumur 20 tahun dari Tatsuno, Jepun, kata, “Saya tidak akan lupakan pengalaman ini. Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi saya peluang untuk menyertai kempen ini.” Seorang penatua tempatan yang bernama Akihiro kata, “Kami sangat digalakkan semasa bekerjasama dengan saudara saudari dari negara lain. Aturan ini telah menambah sukacita dalam aktiviti penyebaran kami.”
Kita sangat menghargai saudara saudari tempatan dan antarabangsa yang “menolong dengan sukarela” dan “memuji Yehuwa dengan suara yang kuat” semasa kempen istimewa ini.—Mazmur 110:3; Ezra 3:11.