4 NOVEMBER 2024
JERMAN
Pameran Bertemakan Saksi yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani di Sachsenhausen
Pada 15 September 2024, pameran yang bertajuk “Saksi-Saksi Yehuwa Teguh Menghadapi Serangan Nazi” telah diadakan di Sachsenhausen Memorial and Museum di Oranienburg, Jerman. Pameran ini akan berlangsung buat sementara waktu hingga pertengahan Disember 2024. Pameran ini dibuka pada tarikh yang bersamaan dengan tarikh Saudara August Dickmann dihukum mati 85 tahun yang lalu. August dikenakan hukuman ini kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Dia ialah orang pertama yang namanya diketahui yang dihukum mati di bawah pemerintahan Nazi atas sebab ini.
Kerajaan Nazi telah membunuh lebih daripada 280 Saksi-Saksi Yehuwa yang dihukum mati kerana menolak khidmat tentera. Jadi, terdapat 33 papan pameran yang mengandungi teks dan gambar untuk menjelaskan pengalaman beberapa Saksi yang setia. Salah satu pengalamannya ialah Saudari Emmy Zehden. Dia dihukum mati pada 9 Jun 1944 di penjara Plötzensee di Berlin, Jerman, kerana melindungi tiga orang Saksi yang menolak khidmat tentera. Mereka ialah Gerhard Liebold, Werner Gaßner, dan anak angkat Saudari Emmy, Horst.
Semasa upacara pembukaan pameran, Saudara Hans-Joachim Rehwald ditemu ramah dan dia menceritakan tentang bapanya Josef. Pada tahun 1938, bapanya Josef enggan menyertai tentera kerajaan Jerman. Disebabkan itu, dia ditangkap dan dipenjarakan selama setahun. Kemudian, dia dipenjarakan di tiga kem konsentrasi, termasuk Sachsenhausen. Semasa di sana, dia telah melihat August Dickmann dihukum mati. Biarpun menghadapi banyak cabaran, dia berpegang teguh pada pendiriannya untuk tetap setia kepada Yehuwa. Selepas melihat pameran itu, seorang saudara kata, “Saya sangat kagum saudara saudari sanggup berkorban untuk tetap neutral. Mereka bahkan sudi menggadaikan nyawa mereka. Saya juga mahu meniru ketabahan mereka.”
Kita hargai saudara saudari yang tetap berani dan tabah meskipun ditentang oleh pemerintahan Nazi. Hari ini, ramai Saksi juga dianiaya kerana keneutralan mereka. Semasa melihat iman mereka yang teguh, kita juga diyakinkan bahawa Yehuwa akan menyokong dan menguatkan kita ketika menghadapi cabaran.—1 Petrus 5:10.