Lompat ke kandungan

Konsul Jeneral Thomas Pröpstl menyampaikan anugerah Order of Merit kepada Saudari Simone Arnold-Liebster

24 JANUARI 2024
JERMAN

Simone Arnold-Liebster Dikurniakan Anugerah Tertinggi daripada Kerajaan Jerman

Simone Arnold-Liebster Dikurniakan Anugerah Tertinggi daripada Kerajaan Jerman

Pada 15 Disember 2023, Saudari Simone Arnold-Liebster telah dikurniakan anugerah tertinggi daripada kerajaan Jerman (Order of Merit). Anugerah tersebut dikurniakan kepada orang yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat. Konsul Jeneral Thomas Pröpstl telah menghadiahkan anugerah itu semasa sebuah acara istimewa di Chambéry, Perancis. Simone, yang kini berumur 93 tahun, juga dipuji atas usahanya untuk membantu orang ingat akan keperitan zaman Nazi serta keteguhan orang yang enggan tunduk kepada keganasan dan kebencian yang disebarkan oleh kerajaan Nazi.

Setakat ini, Simone telah berucap kepada hadirin dari 25 buah negara. Sekitar 65,000 orang telah mendengar ucapannya, termasuk ramai pelajar dan guru. Meskipun dia sudah lanjut usia, dia masih membuat lawatan sedemikian menerusi persidangan video. Semasa program tersebut, dia akan menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh orang muda dan mengongsi pengajaran yang diperolehnya sewaktu dia sebaya dengan mereka. Seorang pelajar yang menghadiri programnya menulis, “Kisah Simone mengajar saya bahawa kepercayaan kita yang teguh terhadap suatu perkara dapat memberi kita kekuatan dan tekad yang luar biasa.”

Simone Arnold-Liebster berucap kepada para pelajar di Colorado, Amerika Syarikat, menerusi persidangan video

Semasa menyampaikan anugerah ini, Konsul Jeneral Thomas Pröpstl berkata kepada Simone, “Walaupun pengalaman hidupmu amat memedihkan, kamu sendiri telah dikuatkan semasa menceritakannya kepada orang lain. Ini sangat mengagumkan. Kamu juga selalu mengongsi kisahmu dengan terus terang dan sikap yang positif tentang masa depan. Hati saya penuh dengan rasa hormat terhadapmu.”

Seperti ribuan keluarga Saksi-Saksi Yehuwa yang hidup pada zaman pemerintahan Nazi, Simone dan keluarganya turut diseksa dan dianiaya dengan teruk. Semasa Simone berumur 12 tahun, dia telah dipisahkan daripada keluarganya dan terpaksa tinggal di Von Wessenberg Reformatory di Konstanz, Jerman. Tempat itu merupakan sebuah sekolah dan penjara. Di situ, dia dipaksa untuk mengubah pendiriannya tetapi dia enggan berganjak. Maka, dia telah dihina dan dipaksa melakukan kerja buruh. Dia juga kekurangan zat kerana tidak diberikan makanan yang mencukupi serta dilarang bercakap kepada sesiapa pun selama hampir dua tahun. Mengenang kembali masa itu, Simone berkata, “Yehuwalah yang menyokong saya, dan saya dapat tetap setia.”

Kita amat menghargai kesetiaan Simone. Sememangnya, keteguhannya memuliakan Bapa kita, Tuhan Yehuwa.—Matius 5:16.