28 OKTOBER 2022
KANADA
Dewan Perjumpaan Selesai Dibina di Kanada, “Tempat Banyak Ikan”
Sidang Iqaluit Saksi-Saksi Yehuwa di Iqaluit, Nunavut, Kanada sudah ada Dewan Perjumpaan mereka yang pertama. Pada 14 Oktober 2022, pekerja sukarela pembinaan selesai membina Dewan Perjumpaan yang dapat menampung 50 tempat duduk. Tempat perjumpaan baharu ini terletak di bahagian paling utara di Kanada. Sidang Iqaluit ditubuhkan pada 2010 dan selama itu mereka adakan perjumpaan di sebuah sekolah gimnasium.
Projek pembinaan ini mencabar dan ditunda selama dua tahun kerana pandemik COVID-19. Iqaluit, yang bermaksud “tempat banyak ikan,” terletak di Teluk Frobisher, Pulau Baffin. Anda hanya dapat ke sana dengan menggunakan kapal terbang atau bot. Selain itu, bahan pembinaan susah didapati. Jadi, peralatan dan bahan pembinaan perlu dihantar dengan bot ke lokasi pembinaan. Tambahan pula, kerja pembinaan hanya dapat dilakukan antara bulan Ogos hingga Oktober disebabkan oleh keadaan cuaca.
Bahan pembinaan dan peralatan yang beratnya 127,000 kilogram (127 tan metrik) dipasang dan disediakan di Dewan Perhimpunan, Ontario. Kemudian, muatan ini dimasukkan ke dalam 12 kontena laut dan tiga kotak besar lalu dihantar ke pelabuhan berdekatan Montreal, Quebec. Dari situ, muatan tersebut dihantar dengan kapal melalui laluan laut St. Lawrence, ke arah Lautan Atlantik, dan akhirnya sampai di Teluk Frobisher. Oleh sebab tiada pelabuhan di teluk itu untuk kapal besar, kontena tersebut diletak dalam bot yang bahagian bawahnya datar. Bot tunda digunakan untuk membawa muatan ke air yang cetek. Kemudian semasa air surut, muatan tersebut diangkut ke darat.
Dewan Perjumpaan dibina dengan reka bentuk dan beberapa ciri pembinaan terkini yang membolehkannya tahan dalam cuaca yang melampau. Di Iqaluit, suhu purata musim sejuk ialah negatif 30 darjah Celsius.
Sekitar 40 pekerja sukarela pembinaan dari enam wilayah membuat perjalanan ke kawasan yang terpencil ini untuk membantu. Saudara Jason McGregor, salah seorang sukarelawan kata, “Bermula daripada cabaran mendapatkan bahan pembinaan untuk dihantar ke bahagian paling utara, sehinggalah mencari penyelesaian untuk atasi masalah yang tidak dijangka, tiada apa-apa yang dapat halang Yehuwa. Iman saya semakin teguh semasa lihat perkembangan ini setiap hari.”
Kita tumpang gembira bersama saudara saudari di Kanada atas Dewan Perjumpaan baharu mereka yang terletak di “tempat banyak ikan,” seraya mereka terus melakukan kerja terpenting sebagai “penjala manusia,” iaitu menginjil kepada semua orang.—Matius 4:19.