2 APRIL 2019
KAZAKHSTAN
Saksi-Saksi Yehuwa Mengadakan Acara Rumah Terbuka di Kazakhstan
Dari 11 Mei hingga 10 November 2018, Saksi-Saksi Yehuwa di Kazakhstan menjemput penduduk setempat untuk menghadiri acara rumah terbuka yang diadakan di tujuh lokasi yang berbeza. Acara ini diadakan agar pegawai kerajaan, wartawan, profesor, dan orang umum, dapat mengenal Saksi-Saksi Yehuwa dengan lebih baik. Lebih daripada 1,500 orang telah menghadiri acara-acara rumah terbuka ini.
Acara-acara rumah terbuka ini diadakan di Dewan Perjumpaan di kota Öskemen, Qaraghandy, Qostanay, Semey, Shymkent, Taldy-Kurgan, dan Taraz. Orang yang datang dapat melihat pameran tentang sejarah kegiatan kita di Kazakhstan, yang bermula sejak tahun 1892. Selain itu, terdapat pameran tentang kegiatan moden kita, seperti pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Kazakh pada tahun 2014.
Saudara Bekzat Smagulov, yang bekerja di Bahagian Perundangan dan Bahagian Maklumat Umum di pejabat cawangan Kazakhstan, menceritakan manfaat acara ini. Dia berkata, “Semua orang yang datang sangat menikmatinya. Mereka dapat mengenali kita dengan lebih baik, dan pegawai dari Jabatan Agama dan para wartawan Kazakhstan-Öskemen, surat khabar Rudnyi Altai, dan surat khabar Semei Vesti turut datang.”
Semasa acara rumah terbuka di Taldy-Kurgan, saudara-saudara kita telah mengalu-alukan ketua Jabatan Agama di kawasan Almaty dan dua orang pegawai dari jabatan yang sama. Taldy-Kurgan ialah pusat pentadbiran kawasan Almaty. Selain itu, ketua penyunting surat khabar Zhetysu Dialog turut datang. Selepas lawatan itu, dia telah menerbitkan sebuah rencana berdasarkan temu ramahnya dengan sesetengah sukarelawan yang membantu semasa acara itu.
Saudara saudari di Kazakhstan telah mengedarkan lebih daripada 560 naskhah Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Kazakh dan Rusia, iaitu bahasa-bahasa utama di Kazakhstan. Mereka berasa gembira dengan hasil baik yang diraih daripada acara-acara ini, kerana nama Yehuwa telah diharumkan dan masyarakat setempat dapat melihat “perbuatan baik” saudara saudari kita.—Matius 5:16.
Di Qaraghandy, Saudari Saniya Akhmetzhanova menggunakan bahasa isyarat untuk menjelaskan usaha yang dicurahkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa untuk membantu orang pekak belajar Bible.
Dua orang budak menonton video Lindungi Anak-Anak Anda dalam bahasa Rusia di rumah terbuka di Qaraghandy.
Saudara Lev Gladyshev menjelaskan sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Kazakhstan kepada pegawai-pegawai yang datang ke rumah terbuka di Qaraghandy, termasuk Encik Kudaibergen Beksultanov (setiausaha parlimen tempatan); Encik Nikolay Sarsenbayev (ketua pakar jabatan yang memantau keadaan keagamaan); dan Encik Nurlan Bikenov (ketua Jabatan Agama di kawasan Qaraghandy).
Saudari Aisha Yakovleva menjelaskan ciri-ciri dalam aplikasi JW Library® kepada sepasang suami isteri yang melawat acara rumah terbuka di Taldy-Kurgan.
Di rumah terbuka di Taraz, Saudara Aleksey Alyoshin menunjukkan nama Tuhan yang terdapat dalam karya sastera dan artifak sejarah.
Di rumah terbuka di Öskemen, Saudara Sergey Petkevich memegang majalah Menara Pengawal yang lama dalam bahasa Rusia sambil menjelaskan sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Kazakhstan. Antara orang yang melawat rumah terbuka di situ ialah ketua persatuan Edinstvo, iaitu Encik Sergey Lebedev.
Saudara Georgiy Pismenoy (kanan) berbual dengan orang yang melawat rumah terbuka di Qostanay. Para pelawat dapat menonton klip video sebuah perbicaraan yang diadakan pada tahun 1982. Dalam klip video itu, tiga orang saudara dan seorang saudari dari Qostanay didapati bersalah kerana memiliki, menghasilkan, dan mengedarkan bahan bacaan yang dilarang pada waktu itu. Saudara Pismenoy ialah salah seorang daripada tiga orang saudara itu yang dijatuhkan hukuman kerja berat selama dua tahun setengah. Dia menceritakan pengalamannya di penjara kepada para pelawat yang datang.
Para pelawat acara rumah terbuka di Shymkent disambut dengan muzik, termasuk alat muzik khas Kazakh yang dipanggil dombra (di hujung kanan dan kiri).
Saudara saudari yang membantu semasa acara rumah terbuka di Qaraghandy.