Lompat ke kandungan

17 JANUARI 2018
KAZAKHSTAN

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Menggesa Kazakhstan untuk Bertindak demi Teymur Akhmedov

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Menggesa Kazakhstan untuk Bertindak demi Teymur Akhmedov

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB telah mengambil tindakan segera ke atas satu aduan yang difailkan pada 3 Januari 2018, atas nama Teymur Akhmedov. Walaupun dia tidak bersalah, Encik Akhmedov yang berusia 61 tahun dan dalam keadaan kesihatan yang buruk telah dipenjarakan selama hampir setahun. Mahkamah di Kazakhstan telah menolak rayuannya dan tetap mengisytiharkannya bersalah kerana didakwa terlibat dalam kegiatan agama yang diharamkan. Oleh itu Encik Akhmedov mencari bantuan daripada Jawatankuasa tersebut demi menegakkan keadilan baginya.

Dalam surat yang bertarikh 9 Januari 2018, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB telah menggesa kerajaan Kazakhstan untuk memberi Encik Akhmedov rawatan yang diperlukan, sementara menunggu keputusan Jawatankuasa ke atas aduannya. Hal ini telah mendorong pihak berkuasa untuk “memastikan, tanpa berlengah-lengah, bahawa [Encik Akhmedov] menerima rawatan perubatan yang mencukupi dan syarat-syarat pemenjaraannya adalah selaras dengan [Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik] dan mengikut piawaian antarabangsa.” Selain itu, surat tersebut juga meminta kerajaan untuk “mempertimbangkan pembebasannya dari penjara atas sebab kesihatannya, atau menahannya di rumah sementara menunggu kesnya dibicarakan oleh Jawatankuasa tersebut.”

Permintaan untuk memberikan rawatan kepada Encik Akhmedov adalah selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB. Pada Oktober 2017, Kumpulan Kerja tersebut telah menyiasat aduan Encik Akhmedov dan mendapati bahawa penahanannya adalah satu tindakan yang tidak adil dan bahawa kerajaan Kazakhstan patut membebaskannya serta membayar pampasan kerana dia telah dilayan dengan tidak adil. Sehingga kini, kerajaan Kazakhstan tidak mengendahkan kecaman Kumpulan Kerja tersebut. Encik Akhmedov telah dipenjarakan selama hampir setahun daripada tempoh hukuman lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya.