Lompat ke kandungan

18 APRIL 2018
KAZAKHSTAN

Teymur Akhmedov Dibebaskan atas Pengampunan Presiden

Teymur Akhmedov Dibebaskan atas Pengampunan Presiden

Pada 2 April 2018, presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev telah memberikan pengampunan kepada Teymur Akhmedov, 61 tahun. Teymur Akhmedov telah dipenjarakan selama lebih daripada setahun atas tuduhan palsu. Pengampunan ini juga menghapuskan rekod jenayahnya. Saudara Akhmedov mendapat berita tentang pengampunan ini pada 4 April. Pada masa itu dia masih ditahan di hospital dan sedang dirawat selepas pembedahannya. Dia kemudiannya dibebaskan dan disatukan semula dengan keluarganya. Pembebasannya juga telah membantunya memperoleh rawatan yang diperlukan untuk melawan penyakit kansernya.

Ditangkap, Ditahan, dan Dipenjarakan dengan Tidak Adil

Saudara Akhmedov ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Pada 18 Januari 2017, dia ditangkap dan dipenjarakan kerana mengongsi kepercayaannya dengan orang lain. Beberapa bulan sebelum itu, dia telah mengadakan perbincangan Bible dengan beberapa orang yang berpura-pura berminat tentang kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, mereka sebenarnya bekerjasama dengan polis rahsia Jawatankuasa Keselamatan Negara Kazakhstan (KNB). Perbualan mereka dirakam secara rahsia dan digunakan sebagai asas bagi KNB untuk menangkap Teymur Akhmedov. Dia dituduh melanggar Artikel 174(2) di bawah Kanun Jenayah Kazakhstan kerana “menyebabkan perpecahan agama” dan menyebar bahawa “agama[nya] lebih unggul.”

Selepas itu, Saudara Akhmedov disoal siasat dan ditahan sebelum perbicaraannya selama tiga bulan. Pada 2 Mei 2017, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan melarangnya daripada menjalankan kegiatan agamanya selama tiga tahun.

Walaupun Teymur Akhmedov telah membuat rayuan berkali-kali untuk dibebaskan, pihak mahkamah telah menolak semua rayuannya. Setelah mencuba segala kaedah perundangan di Kazakhstan, dia berusaha mendapatkan bantuan daripada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari (WGAD) PBB dan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB.

Pada Oktober 2017, WGAD menyatakan bahawa kerajaan Kazakhstan bersalah atas pemenjaraan Teymur Akhmedov dan mendesak agar dia dibebaskan dengan segera. Perbuatan Saudara Akhmedov “tidak menganggu kedamaian dan tidak melanggar batas kebebasan beragama.” Pada Januari 2018, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia telah menerima rayuan Saudara Akhmedov dan sementara menunggu proses yang seterusnya, jawatankuasa itu telah mengarahkan agar Teymur Akhmedov diberikan rawatan perubatan yang diperlukan. Jawatankuasa itu juga mencadangkan agar kerajaan Kazakhstan mempertimbangkan keputusan untuk membebaskan Teymur Akhmedov.

Akhirnya Dibebaskan

Teymur dan Mafiza Akhmedov selepas mendapat pengampunan presiden

Dalam tempoh Teymur Akhmedov dipenjarakan, kesihatannya terus merosot. Pada awal tahun ini, doktor memaklumkannya bahawa dia menghidap kanser usus dan keadaannya makin parah. Setelah keputusan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia serta permohonan pertubuhan antarabangsa lain disuarakan, pegawai kerajaan Kazakhstan meminta Saudara Akhmedov untuk membuat permohonan kepada Presiden Nazarbayev untuk mendapatkan pengampunan.

Saudara Akhmedov telah membuat rayuan tersebut pada 5 Mac 2018 dan memohon agar kesnya diberikan keutamaan kerana dia memerlukan rawatan agar kansernya tidak merebak. Sementara itu, pegawai penjara memindahkannya ke Almaty, Kazakhstan, untuk menjalani pembedahan pada 27 Mac 2018.

Adakah Kazakhstan Akan Lebih Menunjukkan Hormat dalam Soal Kebebasan Beragama?

Saudara Akhmedov dan isterinya Mafiza, serta anak-anak mereka amat lega atas keputusan yang diterima. Mereka juga sangat berterima kasih kerana Presiden Nazarbayev telah menghapuskan rekod jenayah Saudara Akhmedov. Oleh sebab tuduhan palsu ini, kerajaan telah membekukan akaun banknya. Tindakan ini telah mengakibatkan banyak masalah kepada isterinya sewaktu Saudara Akhmedov dipenjarakan.

Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia berharap agar pengampunan yang diberikan kepada Saudara Akhmedov menandakan bahawa pegawai kerajaan di Kazakhstan akan memberikan para Saksi lebih banyak kebebasan untuk menjalankan kegiatan agama tanpa halangan.