Lompat ke kandungan

22 FEBRUARI 2018
KAZAKHSTAN

Rayuan kepada Kerajaan Kazakhstan untuk Membebaskan Teymur Akhmedov

Rayuan kepada Kerajaan Kazakhstan untuk Membebaskan Teymur Akhmedov

Ahli keluarga dan sahabat Teymur Akhmedov semakin risau tentang keadaan kesihatannya. En. Akhmedov ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang berusia 61 tahun, dan dia mempunyai masalah kesihatan bahkan sebelum dipenjarakan lebih daripada setahun yang lalu. Pada 8 Februari 2018, dia menjalani pembedahan untuk membuang dua ketumbuhan (salah satu ketumbuhan itu merupakan tumor yang berbahaya). En. Akhmedov memerlukan rawatan selanjutnya, tetapi keadaan penjara di Pavlodar sangat buruk. Maka keluarga dan para peguamnya merayu kepada pihak berkuasa agar membebaskannya, namun rayuan mereka tidak dilayan setakat ini.

Mahkamah di Kazakhstan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kepada Teymur Akhmedov, dan dia dijangka akan dibebaskan pada tahun 2022. En. Akhmedov telah ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa, semata-mata kerana mengamalkan hak kebebasan beragama. Akaun banknya bahkan dibekukan kerana dia disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas. Mahkamah-mahkamah Kazakhstan telah menolak semua rayuan yang dikemukakan.

Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB mendesak kerajaan Kazakhstan untuk membebaskan En. Akhmedov dan membatalkan tuduhan palsu terhadapnya. Selain itu, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB memohon agar dia dibebaskan dari penjara dengan segera kerana kesihatannya yang semakin merosot.

Peguam En. Akhmedov berkata, “Pemenjaraan Teymur memang tidak adil. Dia sakit teruk dan perlu dirawat. Seperti yang digesa oleh pihak PBB, kami merayu kepada pihak berkuasa Kazakhstan agar segera membebaskan Teymur atas dasar kemanusiaan. Kami berharap keadilan dapat ditegakkan.”