Lompat ke kandungan

6 JUN 2018
KAZAKHSTAN

441 Hari di Penjara​—Temu Ramah dengan Teymur dan Mafiza Akhmedov

441 Hari di Penjara​—Temu Ramah dengan Teymur dan Mafiza Akhmedov

Pada 4 April 2018, Saudara Teymur Akhmedov telah dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan daripada Nursultan Nazarbayev, iaitu presiden Kazakhstan. Saudara Teymur telah dipenjarakan selama 441 hari. Dia ditahan kerana mengongsi kepercayaannya dengan orang lain.

Tidak lama selepas Saudara Teymur dibebaskan dari penjara, Pejabat Maklumat Umum (OPI) yang terletak di ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York, telah bercakap dengan Saudara Teymur dan isterinya, Saudari Mafiza, yang sekarang berada di rumah mereka di Astana, ibu kota Kazakhstan. Berikut merupakan rekod perbualan dengan mereka yang telah disunting:

OPI: Mula-mula, kami ingin tahu lebih banyak tentang kamu, Saudara Akhmedov. Bilakah saudara menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa?

Teymur Akhmedov: Saya dibaptis pada 9 Oktober 2005. Sebelum mengetahui kebenaran, saya ialah seorang ateis. Saya tidak percaya akan kewujudan Tuhan dan tidak percaya akan mana-mana agama. Kemudian, isteri saya mula belajar Bible, dan saya ingin tahu apa yang dipelajarinya daripada Saksi-Saksi Yehuwa. Saya selalu sembunyi di belakang pintu dan curi-curi dengar perbincangan mereka.

Apabila saya mengetahui apa yang dibincangkan oleh mereka, saya tertarik kerana mereka hanya bincang tentang hal-hal yang baik. Akhirnya, mereka memperkenalkan saya kepada Saudara Veslav, yang berasal dari Poland tetapi berkhidmat di Kazakhstan. Semasa perbincangan kami yang pertama, saya berkata kepadanya, “Saya akan tanya kamu satu soalan. Jika saya puas hati dengan jawapan kamu, kita boleh jadi kawan dan teruskan perbincangan kita. Tapi, kalau saya tidak puas hati dengan jawapan kamu, jangan tersinggung, tapi saya tidak akan sambung perbincangan dengan kamu.” Kemudian saya tanya Saudara Veslav apa yang berlaku apabila seseorang mati. Dia membuka Biblenya dan menunjukkan ayat di Pengkhutbah 9:5 lalu berkata, “Bacalah ayat ini dan kamu akan mengetahui jawapannya.” Setelah membaca ayat itu, saya sedar bahawa itulah kebenaran. Maka saya bersetuju untuk mula belajar Bible dengan dia.

Jadi saudara mula belajar Bible dan akhirnya dibaptis pada tahun 2005.

Sekarang, kami ingin tahu peristiwa yang berlaku sebelum saudara ditangkap. Pada bulan Mei 2016, saudara bertemu dengan sekumpulan lelaki yang nampaknya berminat untuk mengetahui kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa. Selama beberapa bulan, saudara bertemu dengan mereka beberapa kali untuk berbincang tentang Bible. Kalau saudara imbas kembali perbincangan dengan mereka, ada apa-apa perbuatan atau kata-kata mereka yang mencurigakan?

TA: Ya, saya memberitahu mereka bahawa biasanya perbincangan Bible diadakan secara individu, dan bukannya secara berkumpulan. Saya mencadangkan agar mereka belajar secara berasingan, tetapi mereka selalu menolak dan berkata bahawa mereka lebih suka belajar secara berkumpulan. Selain itu, mereka pernah menjemput orang lain untuk menyertai perbincangan kami dan meminta saya mengulangi apa yang sudah kami bincangkan. Hal itu berlaku untuk beberapa kali.

Mafiza Akhmedov: Saya pernah menyertai perbincangan mereka. Saya perhatikan bahawa mereka selalu bincang tentang agama lain biarpun mereka sudah belajar untuk suatu jangka waktu. Saya juga perhatikan bahawa tempat tinggal mereka terlalu mewah untuk pelajar. Saya pernah cakap bahawa sebagai pelajar, kehidupan mereka nampaknya agak mewah. Kata-kata saya membuat mereka berasa tidak selesa. Semasa kami beredar, mereka kata bahawa mereka mahu bercakap dengan Teymur bersendirian, jadi saya menunggu di luar. Mereka memberitahu Teymur agar tidak membawa saya untuk menyertai perbincangan Bible mereka lagi.

Jadi bilakah saudara menyedari bahawa mereka sebenarnya ialah ejen Majlis Keselamatan Negara Kazakhstan (KNB) dan tidak berminat untuk mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa?

TA: Saya hanya menyedari bahawa mereka bekerjasama dengan KNB semasa perbicaraan mahkamah.

Apakah reaksi saudara ketika saudara ditahan dan kemudiannya didakwa atas tuduhan menimbulkan kebencian antara agama dan mengajar bahawa agama saudaralah yang terbaik?

TA: Sebenarnya, semasa saya ditangkap, saya sangka saya akan dibawa ke balai polis untuk memberikan keterangan lalu dibebaskan. Saya sudah bersedia untuk membela diri dan memberitahu pihak polis tentang apa yang saya bincangkan dengan mereka.

Saya agak terkejut dengan apa yang berlaku selanjutnya, tetapi saya tidak berasa takut. Tuduhan menimbulkan kebencian antara agama dan ekstremisme membuat saya terkejut. Saksi-Saksi Yehuwa ialah orang yang suka mengongsi pengetahuan mereka tentang Yehuwa dan tidak pernah dikaitkan dengan kebencian dan perselisihan. Saya yakin bahawa saya tidak bersalah dan Yehuwa akan selalu menyokong saya. Memang, saya berasa khuatir. Tetapi saya ingat akan nasihat Bible yang berikut: “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.

Saudara telah ditahan selama tiga bulan sebelum kes saudara dibicarakan. Kemudian, pada 2 Mei 2017, sebuah mahkamah daerah di Astana telah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun atas saudara dan saudara juga dilarang untuk menyertai kegiatan menyebarkan ajaran Bible selama tiga tahun. Apakah kesan keputusan itu atas diri saudara?

TA: Semasa mahkamah mengumumkan keputusan perbicaraan saya, saya telah mempersiapkan hati untuk dipenjarakan selama lima tahun. Saya berfikir, “Jika Yehuwa mengizinkan saya melalui ujian ini, Dia berkuasa atas segala yang berlaku dan tahu bila semua ini akan berakhir.” Saya bersedia untuk menunggu tidak kira berapa lama.

Penjara di kota Pavlodar, Kazakhstan, iaitu tempat Saudara Akhmedov dipenjarakan.

Kami mendengar bahawa semasa saudara dipenjarakan, keadaan kesihatan saudara agak teruk. Adakah hal itu benar?

TA: Ya, saya sakit dan sedang menjalani rawatan sebelum dipenjarakan. Selepas saya ditahan, saya tidak mendapat rawatan yang diperlukan dan penyakit saya menjadi lebih teruk.

Saudari Mafiza, apakah perasaan saudari pada waktu itu?

MA: Saya berasa sangat takut dan sangat tertekan. Kami sudah berkahwin selama 38 tahun dan itulah kali pertama kami dipisahkan. Saya bahkan berasa susah untuk membuat apa-apa keputusan semenjak Teymur dipenjarakan. Tetapi Teymur cuba menenangkan hati saya dengan berkata, “Jangan risau. Kita mungkin perlu berpisah selama lima tahun. Tetapi dengan berkat Yehuwa, kita dapat bersama-sama lagi selama 25 tahun, bahkan dalam sistem dunia ini!”

Apakah hal lain yang telah membantu saudari untuk bertabah semasa suami saudari dipenjarakan?

MA: Saudara saudari banyak membantu saya. Semasa Teymur dipenjarakan, saya menyangka bahawa semua orang akan berasa takut untuk melawat saya kerana rumah dan kegiatan kami diawasi oleh KNB.

Pada suatu hari, seorang penatua dan isterinya telah datang untuk melawat saya dan hal itu telah menguatkan semangat saya. Saya bertanya kepada mereka, “Kamu tidak takut untuk datang sini?” Mereka menjawab, “Mengapa kami perlu berasa takut? Jika pihak berkuasa betul-betul mahu menjejaki kami, senang sahaja. Mereka hanya perlu mengesan telefon kami.”

Semasa para penatua membuat kunjungan penggembalaan, mereka menggalakkan saya agar tidak berputus asa dan berusaha menguatkan kerohanian saya.

Saudara Teymur, apakah yang membantu saudara bertahan menghadapi cabaran ini dan tetap berfikiran positif?

Saudara Akhmedov dirantai ke katil hospital sejurus sebelum dibebaskan. Walaupun pada mulanya dia tidak dibenarkan untuk menjalani rawatan yang diperlukan, pihak berkuasa membenarkannya dirawat semasa keadaan kesihatannya menjadi teruk.

TA: Doa kepada Yehuwa! Setiap hari saya berdoa untuk meminta bimbingan, pemahaman, dan kekuatan agar saya dapat mengekalkan sukacita saya dan tetap setia biarpun menghadapi cubaan ini. Saya dapat merasai bagaimana Yehuwa menjawab doa saya dengan jelas sekali. Dia sentiasa menyokong saya dan saya tidak pernah berasa keseorangan di dalam penjara.

Pembacaan Bible juga telah banyak membantu saya. Di salah satu penjara, sentiasa ada Bible yang dapat saya baca. Di satu lagi penjara, saya dapat pergi ke perpustakaan penjara sekali seminggu untuk membaca Bible yang ada di sana.

Saya juga ingat akan kata-kata saudara yang telah mengajarkan Bible kepada saya. Dia selalu mengingatkan saya bahawa saya tidak perlu berasa takut untuk menghadapi cubaan. Saya pernah bertanya, “Mengapakah saya tidak perlu berasa takut? Bagaimana pula jika cubaan yang menimpa saya susah dan menakutkan?” Dia berkata bahawa Tuhan tidak akan membiarkan kita menghadapi cubaan yang tidak dapat kita tanggung dan Dia akan memberi kita kekuatan yang diperlukan untuk menghadapi apa-apa dugaan. (1 Korintus 10:13) Sepanjang masa saya dipenjarakan, saya sentiasa ingat akan kata-kata dalam ayat itu.

Apakah perasaan saudara semasa mengetahui bahawa saudara saudari di seluruh dunia tahu tentang keadaan saudara dan sedang berdoa bagi pihak saudara?

TA: Saya benar-benar dapat merasai bantuan Yehuwa melalui organisasi-Nya. Hal ini meyakinkan saya bahawa saya tidak akan diabaikan oleh Yehuwa dan suatu hari nanti, Yehuwa akan menyelamatkan saya.

Sebenarnya, perkara yang paling saya takuti ialah penjara. Saya sangat takut dipenjarakan. Semasa saya membaca tentang saudara-saudara kita yang dipenjarakan, saya sering berdoa, “Yehuwa, saya rela menghadapi apa-apa cubaan tetapi janganlah izinkan saya dipenjarakan!” Tetapi pada masa yang sama, saya ingin sekali melawat orang yang dipenjarakan dan memberitahu mereka tentang kebenaran. Semasa saya bertanya kepada saudara-saudara jika saya boleh menginjil di penjara, mereka berkata bahawa buat masa ini, kita tidak diizinkan untuk berbuat demikian di Kazakhstan. Maka semasa kes saya dibicarakan, perasaan saya bercampur aduk. Saya memang takut dipenjarakan tetapi pada masa yang sama, saya berasa bahawa keinginan saya untuk menginjil di penjara sedang menjadi kenyataan.

Jadi adakah saudara berpeluang untuk menginjil kepada orang lain di dalam penjara?

TA: Ya. Pernah sekali, saya dipanggil oleh seorang pegawai yang ingin bercakap kepada saya. Semasa saya masuk ke dalam pejabatnya, dia berkata, “Saya tahu bahawa kamu salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi jangan cuba untuk menginjil kepada saya!” Saya menjawab, “Saya tiada niat untuk berbuat demikian.” Kemudian dia tanya, “Siapakah nama Tuhan?” Saya menjawab, “Nama Tuhan ialah Yehuwa.” Dia bertanya lagi, “Kalau begitu, siapakah Yesus? Bukankah dia Tuhan?” Saya menjawab, “Bukan, dia anak Tuhan.” Dia bertanya lagi, “Kalau begitu, mengapakah Gereja Ortodoks percaya bahawa dia ialah Tuhan?” Saya menjawab, “Lebih baik tuan tanya mereka.”

Pada kesempatan lain, saya berpeluang untuk bercakap kepada lebih daripada 40 orang sekali gus. Seorang ahli psikologi telah datang untuk melawat para banduan. Semasa kami berbincang tentang topik perkahwinan, dia tanya pendapat kami tentang poligami. Setiap banduan diberikan peluang untuk meluahkan pendapat masing-masing.

Semasa tiba giliran saya untuk bercakap, saya berkata bahawa saya tidak mempunyai pendapat peribadi tentang hal ini. Tetapi ada satu pendapat yang saya sangat suka dan saya mahu mengongsinya dengan semua orang. Kemudian saya berkata, “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” (Kejadian 2:24) Ahli psikologi itu tanya, “Itu pendapat siapa?” Saya menjawab, “Itu pendapat Tuhan Yehuwa, individu yang telah menciptakan manusia. Tuhan hanya menyebut tentang dua orang.”

Kemudian dia bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai alasan lain untuk menjelaskan mengapa kamu berasa bahawa seorang lelaki hanya boleh mempunyai seorang isteri?” Saya memetik ayat di Matius 7:12, yang menyatakan, “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.” Saya menyambung, “Ini kata-kata Yesus. Sila tanya semua orang di sini jika mereka mahu mengongsi isteri mereka dengan orang lain. Jika kaum lelaki tidak mahu isteri mereka untuk mempunyai suami yang lain, sudah pasti kaum wanita juga tidak mahu suami mereka mempunyai isteri yang lain.” Ahli psikologi itu berkata bahawa dia paling suka dengan jawapan saya.

Meskipun keadaan saudara sangat susah, saudara tetap mencari peluang untuk menginjil kepada orang lain. Pengalaman saudara sangat menggalakkan kami semua!

Selepas permohonan saudara untuk dibebaskan ditolak oleh beberapa mahkamah, termasuk Mahkamah Agung Kazakhstan, dari segi perundangan, nampaknya keadaan saudara sudah menemui jalan buntu.

Namun, saudara dapat dibebaskan jika saudara menandatangani surat pengakuan. Bolehkah saudara ceritakan tentang hal ini dan sebabnya saudara tidak mahu menandatangani surat itu?

TA: Sebenarnya, mereka menawarkan peluang itu kepada saya buat beberapa kali. Mereka mungkin berniat baik, tetapi surat itu menyatakan bahawa saya mengaku bersalah dan bahawa saya meminta maaf atas tindakan saya. Kemudian, saya juga pernah diberi peluang untuk menulis surat pengakuan dan meminta untuk dimaafkan. Pihak berkuasa mengarahkan saya untuk menulis bahawa saya bersalah kerana menceritakan kepercayaan saya kepada orang lain. Saya juga disuruh untuk menulis bahawa saya menyesali perbuatan saya dan memohon untuk dibebaskan kerana keadaan kesihatan saya.

Saya menolak semua tawaran itu dan memberitahu mereka bahawa saya lebih rela meringkuk di dalam penjara dengan hati nurani yang bersih daripada dibebaskan tetapi dibelenggu rasa bersalah.

Kami betul-betul menghargai teladan saudara dan tekad saudara untuk memelihara hati nurani yang murni.

Tetapi, suatu kejadian di luar dugaan telah berlaku. Dapatkah saudara ceritakan bagaimana saudara mendapat tahu bahawa saudara akan dibebaskan dari penjara?

TA: Pada suatu hari, seorang penjaga penjara datang ke sel penjara saya dan memberitahu saya bahawa saya mendapat satu panggilan telefon. Saya berfikir, “Siapa yang menelefon saya?” Semasa saya menjawab panggilan itu, seorang wanita memperkenalkan dirinya dan berkata bahawa dia akan datang ke penjara untuk membebaskan saya. Saya sangat terkejut dan terus terbungkam. Selepas itu, saya memberitahu anak saya tentang panggilan itu kerana saya tidak mahu isteri saya terkejut atau membuatnya kecewa jika berita itu ternyata palsu.

Selepas itu, penjaga penjara itu bertanya, “Apa yang mereka beritahu kamu?” Saya beritahu dia bahawa mungkin ada orang yang mahu mempermainkan saya kerana ada seorang wanita baru memberitahu saya bahawa dia akan datang ke penjara untuk membebaskan saya.

Saudara Mark Sanderson, salah seorang ahli Badan Pimpinan, dengan Saudara Teymur dan Saudari Mafiza Akhmedov sejurus selepas Saudara Akhmedov dibebaskan.

Penjaga penjara itu berkata bahawa wanita itu serius dan apa yang dikatakan olehnya itu benar.

Saudari Mafiza, apakah reaksi saudari semasa mendengar berita yang menggembirakan ini?

MA: Semasa anak lelaki saya memberitahu saya bahawa Teymur akan dibebaskan, saya tidak dapat mempercayainya. Kami sudah lama menanti-nantikan saat ini!

Kamu berdua pasti berasa sangat gembira kerana dapat bersama-sama setelah dipisahkan lebih daripada setahun!

Jika saudara dan saudari imbas kembali apa yang berlaku, apa yang telah kamu berdua pelajari daripada ujian iman ini?

MA: Saya ingat saya menangis sewaktu mendengar tentang keadaan Saudara Bahram [Hemdemov] dan [Saudari] Gulzira Hemdemov. [Saudara Hemdemov ditangkap pada bulan Mac 2015 oleh pihak berkuasa Turkmenistan. Pada 19 Mei 2015, dia dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun atas tuduhan palsu “menimbulkan kebencian antara agama.” Sampai hari ini, dia masih belum dibebaskan.] Semasa saya berfikir tentang situasi Saudari Gulzira, saya dapat membayangkan penderitaannya, walaupun waktu itu Teymur belum ditahan. Setelah kami menghadapi masalah ini, saya ingin sekali memeluk Saudari Gulzira dan memberitahu dia bahawa saya amat menyayanginya. Saya ingin memberitahu dia bahawa saya memahami perasaannya. Seperti saya, dia pasti bergantung pada sokongan Yehuwa dan saudara saudari lain.

Saya sangat berterima kasih kepada semua saudara saudari yang menyokong kami, termasuk saudara saudari di sidang kami dan di seluruh dunia, Badan Pimpinan, para peguam, dan anak-anak lelaki kami.

Saudara Akhmedov memegang surat pengampunan selepas dibebaskan.

TA: Saya hanya ingin menyebut satu hal. Semua orang pasti menghadapi cabaran dalam hidup masing-masing. Memang, bukan semua orang akan dipenjarakan. Bagi sesetengah saudara saudari, mungkin cabaran mereka ialah penganiayaan daripada ahli keluarga yang tidak seiman. Bagi yang lain, mungkin cabaran mereka ialah personaliti saudara atau saudari lain. Tidak kira apa cabaran yang menimpa kita, kita semua dapat memilih sama ada kita mahu mengikut prinsip Tuhan atau tidak. Jika kita mengikut prinsip Tuhan, kita dapat menghadapi cubaan itu dengan berjaya. Jadi, sebagai kesimpulan, kita harus rela menghadapi apa sahaja cabaran yang timbul dan ingat bahawa Yehuwa akan memberi kita kekuatan untuk melaluinya.

Saya ingin berterima kasih kepada isteri dan anak-anak saya kerana selalu menyokong saya. Mereka sering melawat saya di penjara, dan hal itu membuat saya tetap tabah.

Saya juga mahu berterima kasih kepada semua saudara saudari. Saya sangat menghargai doa-doa mereka dan surat-surat mereka yang menguatkan saya. Saya tidak pernah berasa diabaikan. Kini saya lebih menyayangi saudara saudari saya dan lebih akrab dengan Yehuwa.