Lompat ke kandungan

5 JULAI 2023
KENYA

Keputusan Mahkamah Menjunjung Hak Kebebasan Beragama Murid Sekolah di Kenya

Keputusan Mahkamah Menjunjung Hak Kebebasan Beragama Murid Sekolah di Kenya

Pada 12 Mei 2023, Mahkamah Rayuan Kenya mengeluarkan keputusan yang menjunjung hak kebebasan beragama murid sekolah di Kenya. Meskipun terdapat undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang tidak boleh dipaksa melakukan kegiatan yang bercanggahan dengan kepercayaan agama individu itu, hal ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak. Sejak 2015, sejumlah 41 murid sekolah yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa telah dikenakan hukuman gantung sekolah atau dibuang sekolah kerana enggan terlibat dalam kegiatan agama lain.

Keputusan daripada Mahkamah Rayuan dibuat berkenaan kejadian yang berlaku pada 2017. Ketika itu, sembilan murid Saksi-Saksi Yehuwa tidak ingin mengambil bahagian dalam kegiatan sekolah yang berkaitan dengan agama lain. Akibatnya, kes itu telah dibawa ke mahkamah. Pada 2019, sebuah mahkamah yang lebih rendah menyatakan bahawa tindakan pihak sekolah yang memaksa para murid melibatkan diri dalam kegiatan agama lain adalah tidak salah. Namun, pada 12 Mei 2023, Mahkamah Rayuan Kenya menyatakan bahawa keputusan mahkamah tersebut “telah merampas hak murid untuk mendapat pendidikan dan hormat yang sewajarnya.” Mahkamah Rayuan juga menjelaskan bahawa peraturan yang menuntut para Saksi untuk melibatkan diri dalam kegiatan agama lain adalah “tidak adil, bercanggahan dengan undang-undang, dan tidak boleh dikuatkuasakan.” Seorang hakim yang terlibat dalam kes ini menulis, “Keputusan Mahkamah [Rayuan] ini harus menjadi asas untuk semua sekolah dalam soal kebebasan beragama murid-murid.”

Keputusan ini juga menyokong perintah daripada Kementerian Pendidikan Kenya pada Mac 2022 yang menyeru pihak sekolah untuk menjunjung hak kebebasan beragama semua murid. Perintah ini juga membolehkan Kenya tergolong dalam negara-negara Afrika seperti Malawi dan Rwanda yang melindungi hak asasi murid Saksi-Saksi Yehuwa.

Keberanian kaum muda di Kenya dan di serata dunia pasti membuat Yehuwa sangat gembira. Mereka boleh yakin bahawa kesetiaan mereka terhadap ibadat sejati amat dihargai oleh Yehuwa!—Amsal 29:25.