7 JUN 2022
KENYA
Kerajaan Kenya Mengeluarkan Perintah yang Menjunjung Hak Murid-Murid Sekolah
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan di Kenya mengeluarkan perintah kepada pihak sekolah yang melindungi hak beragama murid-murid. Perintah ini dikeluarkan pada 4 Mac 2022. Kami berharap perintah ini akan melindungi hak anak-anak Saksi-Saksi Yehuwa, yang sudah lama menjadi mangsa diskriminasi.
Sejak tahun 2015, 36 orang anak-anak Saksi-Saksi Yehuwa telah dibuang atau digantung sekolah kerana enggan mengikut arahan sekolah untuk menyertai upacara agama tertentu. Pada tahun 2018, wakil daripada pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Nairobi berjumpa dengan pegawai pendidikan Kenya untuk membincangkan masalah itu. Sebagai contoh, pada 23 Oktober 2018, mereka berjumpa dengan Dr. Amina Mohamed, Setiausaha Kabinet Pendidikan pada masa itu.
Perintah pihak kerajaan menyatakan dengan jelas bahawa sesetengah “pentadbir dan pengurus sekolah” di Kenya “menggunakan alasan yang remeh untuk menghalang murid-murid daripada datang ke sekolah.” Perintah itu menyebut bahawa “sesetengah sekolah khususnya mencabuli hak beragama murid-murid dan menggunakan agama sebagai alasan untuk membuang mereka daripada sekolah atau menghalang mereka daripada diterima ke dalam sekolah.”
Perintah ini mendapat liputan yang luas dalam media Kenya, dan menekankan bahawa “melanggar hak beragama sebenarnya melanggar undang-undang kebangsaan, serantau, dan antarabangsa, . . . terutamanya Perlembagaan Kenya.” Maka, anak-anak Saksi dan murid lain tidak boleh disuruh “melakukan atau menyertai sesuatu yang melanggar kepercayaan agama mereka.” Semua sekolah dikehendaki menguatkuasakan perintah itu.
Kimberly Nyang’ate, seorang saudari di Nairobi yang berumur 17 tahun mengatakan, “Ibu bapa saya telah dipanggil ke sekolah lebih daripada lima kali kerana kepercayaan saya. Saya sangat gembira kerana perintah ini menyokong pendirian Bible kami.”
Kita bersyukur kerana pihak kerajaan telah mengeluarkan perintah ini yang membantu anak-anak Saksi di Kenya untuk berteguh dalam kepercayaan mereka.—1 Korintus 15:58.