Lompat ke kandungan

17 JANUARI 2020
KOREA SELATAN

Korea Selatan Memberikan Pengampunan Khas kepada Orang yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani

Korea Selatan Memberikan Pengampunan Khas kepada Orang yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani

Pada 31 Disember 2019, kerajaan Korea Selatan mengumumkan bahawa sebanyak 1,879 orang yang baru-baru dibebaskan dari penjara akan diberikan pengampunan khas. Sebelum ini, mereka telah dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Walaupun mereka masih mempunyai rekod jenayah, pengampunan khas yang diberikan membolehkan mereka untuk dibebaskan daripada sekatan. Pengampunan khas ini merupakan hasil daripada keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung pada tahun 2018, yang mengakui bahawa keputusan untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani ialah hak peribadi, bukannya suatu jenayah.

Kerajaan Korea Selatan melarang bekas banduan untuk melakukan sesetengah perkara selama lima tahun selepas dibebaskan dari penjara. Orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani juga mempunyai rekod jenayah. Oleh itu, mereka tertakluk kepada sekatan tersebut. Jadi, para saudara tidak boleh menduduki peperiksaan untuk mendapatkan lesen tertentu atau memohon sesetengah pekerjaan.

Saudara Hong Dae-il, yang menyelia Bahagian Maklumat Umum di Korea Selatan, berkata, “Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana memansuhkan sekatan yang dikenakan. Hal ini menunjukkan kerajaan semakin rela mengakui bahawa orang yang dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani bukannya penjenayah.”

Seraya kita menantikan perkembangan yang positif dari Korea Selatan, kita memberikan kemuliaan dan kehormatan kepada Yehuwa, Pemberi Hukum yang agung.—Wahyu 4:11.