12 DISEMBER 2019
KOREA SELATAN
Muzium Negara Mempamerkan Kisah Saksi-Saksi Yehuwa di Korea yang Tidak Diketahui Umum
Kini, National Memorial Museum of Forced Mobilization under Japanese Occupation mempamerkan sejarah tentang Saksi-Saksi Yehuwa di Korea yang tidak diketahui oleh orang ramai selama ini. Muzium ini terletak di Busan, bandar kedua terbesar di Korea. Pameran istimewa yang terbuka kepada orang ramai ini bertajuk, “Changing History, Unchanging Conscience” (Biar Sejarah Berubah, Hati Nurani Tetap Sama), dan berlangsung pada 12 November 2019 hingga 13 Disember 2019. Pameran ini mengisahkan para Saksi yang berpendirian neutral lebih daripada 80 tahun yang lalu semasa Jepun menjajah Korea, dan juga menjelaskan bagaimana pihak berkuasa pada masa itu menganiaya mereka.
Pada September 2019, pameran tersebut pernah diadakan buat kali pertama di Dewan Sejarah Penjara Seodaemun a, Seoul. Sebanyak 51,175 orang yang datang, termasuk 5,700 orang Saksi dari luar negara yang datang untuk menghadiri konvensyen antarabangsa di Korea.
Pada Jun 1939 hingga Ogos 1945, Saksi-Saksi Yehuwa dan orang yang menunjukkan minat terhadap mesej Bible pada masa itu ditahan dan dipenjarakan. Peristiwa ini dikenali sebagai Insiden Deungdaesa. Mereka dipenjarakan kerana enggan menyertai penyembahan maharaja. Pihak kerajaan juga percaya bahawa bahan bacaan mereka menggalakkan orang untuk tidak menyertai perang dan memberontak terhadap kerajaan. Sebanyak 66 orang Saksi ditahan, iaitu hampir sama dengan jumlah Saksi-Saksi Yehuwa yang ada di Korea pada masa itu. Mereka yang dipenjarakan telah diseksa dan mengalami tekanan yang kuat. Disebabkan keadaan yang teruk dalam penjara, enam orang Saksi telah meninggal.
Saudara Hong Dae-il, yang mengaturkan aktiviti Bahagian Maklumat Umum di Korea, berkata, “Banyak orang di Korea tidak tahu bahawa sejak 80 tahun yang lalu semasa penjajahan Jepun, orang yang enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani telah dianiaya dengan tidak adil. Pameran yang istimewa ini merupakan peluang yang baik untuk menceritakan kisah yang menakjubkan ini buat kali pertama.”
Profesor Han Hong-gu yang juga merupakan seorang sejarawan telah menghadiri upacara pembukaan itu dan menyatakan pandangannya terhadap orang yang berpegang teguh pada pendirian. Dia berkata, “Mereka menetapkan teladan yang terbaik dalam hal berpegang teguh pada hati nurani dan kepercayaan mereka. . . . Kini, seraya masyarakat kita semakin menghormati orang yang bertindak menurut hati nurani, Saksi-Saksi Yehuwalah yang harus diberi penghormatan terlebih dahulu.”
Pameran tersebut telah mendapat banyak perhatian daripada para sejarawan dan pihak media. Hal ini mewujudkan peluang yang baik untuk mendidik orang ramai sejarah tentang individu yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Hasilnya, topik ini telah diketahui ramai sepanjang tahun lalu. Selama ini, khidmat alternatif tidak disediakan di Korea Selatan. Pada 28 Jun 2018, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa perbuatan ini tidak selaras dengan perlembagaan negara. Empat bulan kemudian, pada 1 November, Mahkamah Agung menyatakan bahawa perbuatan menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani bukanlah suatu jenayah. Hasilnya, saudara-saudara kita yang dipenjarakan kerana enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani di Korea Selatan telah dibebaskan. Keputusan mahkamah itu turut membuka jalan untuk mengubah undang-undang berkenaan khidmat awam alternatif.
Pameran itu menunjukkan kisah saudara dan saudari di Korea pada masa awal yang telah menunjukkan iman dan keberanian yang teguh. Teladan mereka mengingatkan kita akan kata-kata yang meyakinkan ini: “Aku tidak takut kerana Yehuwa berada di pihakku. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?”—Mazmur 118:6.
a Sebelum Dewan Sejarah dijadikan muzium, penjara ini digunakan untuk mengurung orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani pada tahun 1960-an hingga 1980-an, termasuk Saksi-Saksi Yehuwa pada zaman pemerintahan Jepun.
Dewan Sejarah Penjara Seodaemun di Seoul, Korea. Pada September 2019, pameran diadakan buat kali pertama di sini
Sekumpulan pelajar berkumpul di luar pameran Insiden Deungdaesa di Dewan Sejarah, yang telah dikunjungi seramai 51,175 orang
Sebahagian daripada pameran ini menunjukkan model menara pengawal yang telah digunakan di penjara ini
Gambaran lima orang dikurung dalam sebuah bilik penjara yang kecil dan sempit menunjukkan betapa susahnya keadaan yang dihadapi para Saksi
Pameran sedang diadakan di National Memorial Museum of Forced Mobilization under Japanese Occupation, Busan
Pameran ini diakhiri dengan gambar-gambar yang mengisahkan sebilangan daripada 66 individu yang dianiaya kerana berpendirian neutral