Lompat ke kandungan

Stadium Sajik di Busan, salah satu lokasi Konvensyen Serantau 2019 “Kasih Itu Abadi!”

26 MEI 2020
KOREA SELATAN

Saksi-Saksi Yehuwa di Korea Selatan Dipuji kerana Mengadakan Acara Istimewa dalam Talian

Saksi-Saksi Yehuwa di Korea Selatan Dipuji kerana Mengadakan Acara Istimewa dalam Talian

Saksi-Saksi Yehuwa telah dipuji kerana memutuskan untuk mengadakan program konvensyen 2020 dalam talian dan bukannya di stadium. Tindakan ini telah mendapat pujian daripada pihak atasan yang menyelia pusat atau lokasi bagi konvensyen di Korea Selatan. Mereka memuji kita kerana mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi kesihatan orang awam, dan pada masa yang sama tetap mengadakan program pendidikan Bible. Semua wang pendahuluan untuk menggunakan lokasi bagi konvensyen telah dikembalikan.

Seorang pengurus di Seoul mengatakan, “Saksi-Saksi Yehuwa buat keputusan yang bijak sekali. Kami sangat suka mereka. Memang tiada agama lain yang memberikan sumbangan begitu besar kepada masyarakat selain daripada para Saksi.” Dia juga berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa mengutamakan kesejahteraan orang lain. Kami sedih sebab tahun ini mereka tidak dapat menggunakan tempat kami. Tapi kami harap pada masa depan, kami dapat bekerjasama lagi dengan mereka.”

Di Suwon, seorang pengurus berkata, “Sudah 35 tahun para Saksi guna tempat ini. Saya sangat bersyukur kerana mereka menjaga tempat ini dengan baik, seolah-olah ini tempat mereka. Saya juga gembira kerana mereka sudi ikut arahan daripada pihak kerajaan untuk mengelakkan penyebaran wabak COVID-19. Sikap prihatin mereka buat saya sangat kagum. Saya harap tahun depan kami dapat berjumpa dengan mereka lagi.”

Seorang pegawai dari lapangan terbang yang berhampiran dengan sebuah pusat konvensyen pula berkata, “Pada 2018 dan 2019, kami dapat lihat bahawa [Saksi-Saksi Yehuwa] sangat teratur dan mereka sering bertindak dengan segera jika kami meminta mereka melakukan sesuatu. Kami sangat tersentuh kerana mereka rela membatalkan acara tahun ini demi kesejahteraan semua orang. Bagusnya jika semua orang bersikap seperti mereka.”

Sebagai umat Yehuwa, kita diajar untuk menunjukkan kasih kepada semua orang, apatah lagi pada masa yang mencabar ini.—Matius 22:39.