Lompat ke kandungan

Tiga orang saudara yang dinyatakan tidak bersalah oleh Mahkamah Daerah Jeonju baru-baru ini.

23 JANUARI 2019
KOREA SELATAN

“Tidak Bersalah”

Kali Pertama dalam Sejarah Korea Selatan, Mahkamah Menyatakan bahawa Orang yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani Tidak Bersalah

“Tidak Bersalah”

Buat kali pertama dalam sejarah Korea Selatan, pendakwa kerajaan Korea Selatan telah memohon agar mahkamah rayuan memberikan keputusan tidak bersalah kepada lima orang saudara kita yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Sebelum ini, mereka dinyatakan bersalah oleh mahkamah yang lebih rendah. Tetapi sekarang, keputusan itu dibatalkan. Kelima-lima orang saudara itu dinyatakan tidak bersalah dan kes mereka telah ditutup.

Keputusan tidak bersalah itu diumumkan pada 14 Disember 2018. Keputusan itu akan menjadi dasar undang-undang untuk lebih daripada 900 kes serupa yang belum lagi dibicarakan. Mereka yang dinyatakan tidak bersalah akan diberitahu tentang aturan baharu yang dibuat oleh kerajaan agar mereka dapat menjalankan khidmat alternatif.

Mahkamah rayuan membuat keputusan tersebut berdasarkan dua keputusan bersejarah yang dibuat oleh Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan Korea pada tahun 2018. Selama 65 tahun, orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani dipenjarakan secara automatik. Namun dengan adanya keputusan ini, hal ini akan berubah.

Keputusan kedua-dua mahkamah itu menjunjung hak asasi manusia dan kebebasan untuk membuat keputusan berdasarkan hati nurani, termasuk keputusan untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Keputusan ini dipuji oleh banyak organisasi yang memperjuangkan hak asasi manusia. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Korea menyatakan, “Keputusan sebulat suara yang dibuat oleh Mahkamah Agung mengakhiri suatu sejarah yang kelam. Selama ini, iaitu sejak tahun 1950-an, hampir 20,000 orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani dihukum sebagai penjenayah . . . Kami sangat menghargai pengorbanan yang dibuat oleh orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani dan pengorbanan yang dibuat oleh ahli keluarga mereka.”

Sekarang, mereka yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani diminta untuk membuktikan bahawa keputusan mereka adalah berdasarkan keyakinan yang “sungguh-sungguh, teguh, dan tulus.” Para hakim diarahkan untuk mencari bukti sama ada seseorang yang menolak khidmat tentera adalah ikhlas atau tidak. Keputusan Mahkamah Agung menyatakan, “Semua aspek kehidupannya . . . harus membuktikan keyakinan dan kesungguhannya.” Maka sekarang, para saudara kita mempunyai peluang yang baik untuk membuktikan kepada para hakim bahawa mereka mempunyai sebab yang baik untuk tidak ikut berperang dan menolak khidmat tentera.—1 Petrus 3:15.

Selama lebih daripada 60 tahun, Saksi-Saksi Yehuwa di Korea telah dipenjarakan kerana pendirian mereka yang berdasarkan hati nurani mereka. Hal ini merupakan bukti yang kukuh bahawa mereka mahu tetap neutral dan mahu mematuhi hukum kedua terpenting, iaitu untuk ‘mengasihi orang lain sepertimana mereka mengasihi diri mereka sendiri.’—Matius 22:39.