Lompat ke kandungan

1 MAC 2018
KOREA SELATAN

Mahkamah di Korea Selatan Berusaha untuk Mencari Penyelesaian bagi Mereka yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani

Mahkamah di Korea Selatan Berusaha untuk Mencari Penyelesaian bagi Mereka yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani

Pada masa lalu, para hakim di Korea Selatan kerap menjatuhkan hukuman untuk memenjarakan Saksi-Saksi Yehuwa yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Namun sekarang, semakin banyak hakim yang berusaha untuk mencari penyelesaian bagi para Saksi. Sesetengah hakim mengambil kira sebab mengapa para Saksi menolak khidmat tentera, iaitu hati nurani mereka yang berdasarkan prinsip Bible menghalang mereka daripada melakukan apa pun yang mungkin mencederakan orang lain. * Oleh kerana kebebasan hati nurani merupakan hak asasi manusia, sesetengah mahkamah telah membuat keputusan bahawa para pemuda ini tidak bersalah walaupun mereka menolak khidmat tentera. Sejak Mei 2015, para hakim telah mengeluarkan 66 keputusan yang menyatakan bahawa para Saksi yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani “tidak bersalah.” Perkara ini agak luar biasa, memandangkan berpuluh-puluh tahun yang lalu hanya 4 keputusan “tidak bersalah” yang dibuat terhadap para Saksi.

Keputusan yang Meyakinkan

Pada 1 Februari 2018, sebuah mahkamah rayuan di Busan mengeluarkan keputusan “tidak bersalah” bagi salah satu kes yang berkaitan dengan orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Hal ini sangat menarik, kerana keputusan ini berbeza daripada apa yang ditetapkan oleh Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan. Keputusan ini juga agak istimewa atas dua sebab berikut: Daerah Busan bersifat konservatif, dan hakim yang mengeluarkan keputusan ini, Jong-du Choi, pernah membuat keputusan bahawa seseorang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani adalah didapati bersalah.

Menurut panel yang terdiri daripada tiga orang hakim itu, mereka bertumpu pada kewajipan Korea Selatan untuk mendukung undang-undang antarabangsa, seperti Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik. Memandangkan Korea Selatan telah pun menandatangani Perjanjian, mereka patut mengakui hak seseorang untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Mahkamah juga berpendapat bahawa “kebiasaan untuk memenjarakan mereka yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani adalah bercanggah dengan artikel 18 dalam Perjanjian, oleh itu . . . alasan hati nurani harus dianggap sebagai ‘alasan yang kukuh’” untuk menolak khidmat tentera. Keputusan ini dilaporkan secara meluas dan para pemerhati yakin bahawa keputusan ini akan membawa pengaruh yang baik dalam bidang perundangan.

Mencari Jalan Penyelesaian Seterusnya

Sebelum ini, secara purata, sebanyak 500-600 orang pemuda dijatuhkan hukuman penjara setiap tahun kerana mereka menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Namun sekarang, banyak hakim memilih untuk menangguhkan perbicaraan. Kini, lebih daripada 700 kes telah ditangguhkan, dan jumlah ini terus meningkat seraya para hakim menunggu keputusan daripada Mahkamah Perlembagaan. Menurut data pada 31 Disember 2017, hanya 267 orang Saksi yang berada di penjara. Jumlah ini merupakan angka yang paling rendah sepanjang 10 tahun ini.

Mahkamah Perlembagaan akan menentukan sama ada para hakim harus mengikut Akta Perkhidmatan Tentera dan menghukum mereka yang menolak khidmat tentera, atau mengikut standard antarabangsa dan melindungi hak mereka untuk membuat keputusan atas dasar hati nurani sendiri. Ramai orang di Korea Selatan berharap Mahkamah akan mengizinkan para pemuda itu untuk melakukan khidmat awam alternatif yang tidak mengganggu hati nurani mereka dan bermanfaat bagi masyarakat.

Jika Mahkamah menyelesaikan perkara ini dengan mengeluarkan keputusan yang berpihak kepada mereka yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, keputusan Korea Selatan ini akan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB dalam beratusan kes yang serupa. Jawatankuasa tersebut telah meminta Korea Selatan agar tidak lagi memenjarakan mereka yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, dan menghormati hak asasi mereka untuk bertindak menurut kebebasan hati nurani.

^ Sebagai contoh, Yesaya 2:4 menyatakan, “Mereka akan menempa pedang menjadi bajak dan tombak menjadi pisau pemangkas. Satu bangsa tidak akan mengangkat pedang untuk melawan bangsa yang lain, dan mereka tidak akan belajar berperang lagi.” Yesus memberi perintah kepada pengikutnya bahawa mereka harus dikenali dengan sifat kasih, “Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”—Yohanes 13:34, 35.