1 MAC 2018
KOREA SELATAN
Para Saksi di Korea Selatan Merayu kepada Presiden agar Isu Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani Dapat Diselesaikan
Peristiwa di Korea Selatan baru-baru ini telah menunjukkan bahawa kerajaan di negara itu mungkin akan membuat perubahan besar berkaitan isu menghormati hak asasi manusia. Pada 7 Disember 2017, Presiden Korea Selatan Jae-in Moon telah bertemu dengan para pegawai dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC) dan meminta mereka untuk memberikan cadangan supaya Korea Selatan dapat memperbaiki amalan hak asasi manusia agar sejajar dengan standard antarabangsa. Presiden Moon secara khususnya telah meminta NHRC untuk mencadangkan jalan penyelesaian yang boleh membantu kerajaan untuk menamatkan dasar mereka yang memenjarakan orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
Setelah pertemuan tersebut yang mendapat banyak publisiti, Saksi-Saksi Yehuwa di Korea Selatan pun melancarkan kempen untuk mengumpulkan tanda tangan bagi surat-surat rayuan kepada presiden. Dasar kerajaan yang memenjarakan orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani telah mempengaruhi kehidupan para Saksi selama beberapa generasi. Memandangkan Presiden Moon mengarahkan pentadbirannya untuk membalas surat rayuan rakyat, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengemukakan surat-surat rayuan untuk memohon bantuan presiden agar masalah yang dihadapi oleh orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani selama 70 tahun ini dapat diselesaikan.
Dalam masa empat minggu, surat-surat rayuan ini siap ditandatangani oleh lebih daripada 14,000 orang lelaki yang pernah dihukum kerana mereka menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Selain itu, lebih daripada 26,000 ahli keluarga mereka yang mengalami penderitaan akibat pemenjaraan para lelaki tersebut juga menandatangani surat-surat rayuan ini.
Pada 15 Januari 2018, enam orang wakil daripada 41,275 Saksi-Saksi Yehuwa yang menandatangani surat-surat rayuan tersebut telah menyerahkannya kepada Pejabat Presiden. Dalam kandungan surat-surat rayuan itu disertai penghargaan terhadap perhatian presiden atas isu ini, serta mengungkapkan kesan negatif yang ditanggung selama 70 tahun akibat pemenjaraan orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, dan menekankan manfaat yang diperoleh negara jika masalah ini diselesaikan. Pada 16 Januari 2018, Pejabat Presiden menyerahkan surat-surat rayuan itu kepada Kementerian Pertahanan Negara untuk tinjauan.
Wakil Saksi-Saksi Yehuwa juga bertemu dengan pegawai NHRC semasa surat-surat rayuan itu disediakan. Mereka menjelaskan dari Bible tentang sebab-sebab Saksi-Saksi Yehuwa enggan berkhidmat dalam tentera. Seandainya khidmat awam alternatif disediakan, para pemuda Saksi akan lebih berguna bagi kerajaan dan masyarakat berbanding dengan hanya dibelenggu dalam penjara. Para pegawai memberitahu para Saksi bahawa matlamat utama NHRC pada 2018 adalah untuk menangani isu menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
Bilangan mereka yang dipenjarakan di Korea Selatan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani jauh lebih ramai berbanding dengan jumlah mereka yang dipenjarakan atas sebab yang sama di negara-negara yang lain. Jumlah masa hukuman yang dijalani para pemuda Saksi setakat ini telah melebihi 36,700 tahun. Saksi-Saksi Yehuwa berharap bahawa para pegawai akan meninjau semula dasar kerajaan ini dan membuat perubahan supaya penderitaan yang dialami para pemuda Saksi selama ini dapat dihentikan.