Lompat ke kandungan

25 OKTOBER 2021
MADAGASCAR

Bible Terjemahan Dunia Baharu yang Dikemaskinikan Dikeluarkan dalam Bahasa Malagasy

Bible Terjemahan Dunia Baharu yang Dikemaskinikan Dikeluarkan dalam Bahasa Malagasy

Pada 16 Oktober 2021, Saudara Anthony Morris, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, telah mengeluarkan edisi digital Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Malagasy. Acara istimewa yang telah dirakamkan itu disiarkan kepada kira-kira 40,000 hadirin. Edisi bercetak dijangka akan tersedia pada awal tahun 2022.

Bahasa Malagasy dituturkan oleh sekitar 27 juta orang, dan merupakan bahasa kebangsaan Madagascar, sebuah pulau yang terletak 400 kilometer dari pantai di Afrika. Bahasa Malagasy tergolong dalam keluarga bahasa yang dituturkan di Asia Tenggara dan Pasifik Selatan, contohnya bahasa Fiji, Indonesia, dan Tagalog.

Terjemahan Bible dalam bahasa Malagasy mempunyai sejarah yang panjang yang bermula dari tahun 1800-an. Para mubaligh yang menterjemahkan Bible menghadapi cabaran seperti malaria, tentangan, dan tidak cukup peralatan percetakan. Namun terjemahan lengkap yang pertama akhirnya disiapkan pada 1835.

Walaupun begitu, selama bertahun-tahun penutur Malagasy moden tidak mempunyai terjemahan yang senang difahami. Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu pada 2003. Kemudian Bible Terjemahan Dunia Baharu yang lengkap pula dikeluarkan pada 2008.

Edisi Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan telah membantu penutur bahasa Malagasy lebih memahami kebenaran Bible walaupun mereka menggunakan dialek yang berbeza. Seorang penterjemah berkata, “Sesetengah perkataan biasa digunakan di bandar-bandar besar, namun tidak difahami oleh penduduk di kawasan luar bandar dan pinggir laut. Oleh itu, para penterjemah telah berusaha menggunakan perkataan dan ungkapan yang dapat difahami oleh orang dari pelbagai kawasan.”

Satu contoh ialah ayat di Kolose 3:13 yang menyatakan, “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain.” Dalam edisi Terjemahan Dunia Baharu yang dahulu, pembaca yang menggunakan dialek Timur mendapat idea bahawa ayat itu hanya bermaksud “terus bercakap dengan satu sama lain.” Namun edisi yang dikemaskinikan menggunakan ungkapan yang berbeza yang menunjukkan bahawa kita haruslah rela mengampuni kesalahan orang lain.

Seorang lagi penterjemah berkata, “Semasa projek ini, saya banyak berdoa kepada Yehuwa. Saya dapat melihat bagaimana Yehuwa membantu kami melalui kuasa suci-Nya.”

Sememangnya, Bible yang dikemaskinikan ini mengungkapkan “kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (1 Petrus 4:10) Kita bersukacita melihat saudara saudari yang berbahasa Malagasy menerima kurniaan yang istimewa ini.