29 MEI 2020
MALAWI
Jutaan Orang di Malawi Menonton dan Mendengar Perjumpaan Kita melalui TV dan Radio
Jawatankuasa Cawangan Malawi telah membuat aturan untuk menyiarkan program perjumpaan kita melalui stesen radio dan televisyen tempatan. Siaran ini bukan hanya ditonton dan didengar oleh Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi juga oleh orang yang bukan Saksi. Di Malawi, ada lebih daripada 100,000 Saksi-Saksi Yehuwa. Namun menurut anggaran yang diperoleh, dua juta orang menonton siaran televisyen dan lapan juta orang mendengar melalui siaran radio setiap hujung minggu.
Seperti yang berlaku di banyak negara lain, buat masa ini rakan seiman kita di Malawi juga tidak berkumpul di Dewan Perjumpaan. Hal ini adalah untuk mengelakkan penyebaran COVID-19. Walaupun ada yang tidak mampu membeli Internet atau menggunakan persidangan video untuk menghadiri perjumpaan, mereka masih dapat mendengar atau menonton perjumpaan melalui radio atau televisyen di rumah sendiri.
Perjumpaan disiarkan dalam bahasa Chichewa, iaitu bahasa utama negara itu. Seluruh program itu juga diterjemahkan secara langsung dalam Bahasa Isyarat Malawi. Selain daripada ceramah umum, video-video atau pembacaan Bible yang dramatik juga disiarkan. Pada akhir program itu, penonton dan pendengar digalakkan untuk melayari jw.org untuk maklumat lanjut dalam bahasa lain.
Siaran ini juga membantu membuka hati sesetengah orang yang pernah berprasangka buruk terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Seorang lelaki menulis, “Selama beberapa minggu, saya sudah mendengar ceramah Bible kamu dalam radio. Ceramah-ceramah yang disampaikan menunjukkan bahawa apa yang orang lain kata tentang kamu adalah tidak benar. Ceramah kamu juga sangat berbeza daripada agama lain dan sangat menyentuh hati.” Kini, lelaki itu dan keluarganya sedang mempelajari Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa.
Augustine Semo, yang berkhidmat di Bahagian Maklumat Umum di Malawi, menjelaskan, “Siaran ini telah membantu saudara saudari mengekalkan rutin rohani mereka. Siaran ini juga membantu orang yang bukan Saksi untuk belajar kebenaran Bible. Kami harap selepas keadaan di Malawi lebih baik, kami akan jumpa banyak orang baharu di Dewan Perjumpaan.”
Kita gembira mengetahui bahawa Saksi-Saksi Yehuwa dan orang lain di Malawi masih mendapat makanan rohani pada masa mencabar ini. Hal ini menguatkan penghargaan kita terhadap “hamba yang setia,” yang memastikan keperluan rohani kita sentiasa dipenuhi.—Matius 24:45.