Lompat ke kandungan

Pejabat cawangan di Lilongwe, Malawi. Sisipan (dari atas kiri mengikut arah jam): Saudara Bill McLuckie, pembantu cawangan yang pertama di Malawi; pihak berkuasa merampas pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa pada 1967; seorang saudari menginjil dengan gembira

28 DISEMBER 2023
MALAWI

Penubuhan Pejabat Cawangan Pertama di Malawi 75 Tahun yang Lalu

Sejarah tentang Ketabahan Saksi-Saksi Yehuwa

Penubuhan Pejabat Cawangan Pertama di Malawi 75 Tahun yang Lalu

Tahun 2023 menandakan tahun yang ke-75 sejak pejabat cawangan pertama Saksi-Saksi Yehuwa ditubuhkan pada 1948 di Blantyre, Malawi.

Sebelum ini, cawangan Afrika Selatan mengaturkan kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di Malawi. Bermula awal 1930-an, jumlah penyiar di Malawi telah bertambah dengan mendadak. Pada 1934, hanya terdapat 28 orang penyiar. Tetapi pada 1948, terdapat lebih daripada 5,600 orang penyiar. Seraya bilangan Saksi bertambah, pejabat cawangan yang pertama ditubuhkan pada 1 September 1948. Sebuah apartmen kecil telah disewa di Blantyre untuk dijadikan sebagai pejabat cawangan. Pejabat ini terus digunakan sehingga bangunan Bethel yang baharu dibina pada 1958 di lokasi yang berdekatan.

Kiri: Para penterjemah bahasa Chichewa dan Chitumbuka bergambar di luar pejabat cawangan yang dibina di Malawi pada 1958. Antara mereka ialah Baston Nyirenda (dalam bulatan), yang kini berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Malawi. Kanan: Baston, yang berumur 80 tahun, dan isterinya Violet

Pada Oktober 1967, pihak berkuasa telah mengharamkan kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di Malawi. Akibatnya, pejabat cawangan telah dirampas. Namun begitu, para saudara yang mengambil pimpinan tetap mengaturkan kerja penyebaran dan menghulurkan bantuan kepada rakan seiman di Malawi. Selama hampir 26 tahun, Saksi-Saksi Yehuwa yang berpendirian neutral telah menjadi mangsa keganasan dan menghadapi penganiayaan yang teruk. Saudara saudari kita telah dipenjarakan, diseksa, dan bahkan dibunuh. Sesetengah daripada mereka membuat keputusan untuk melarikan diri ke negara yang berdekatan, seperti Mozambique, Zambia, dan Zimbabwe.

Saudara saudari menterjemahkan bahan terbitan Bible ke dalam bahasa Chichewa

Semasa kegiatan saudara saudari di Malawi disekat, para saudara di Zambia telah bantu untuk menjaga keperluan mereka selama beberapa tahun. Pada 12 Ogos 1993, kerajaan Malawi telah menghapuskan larangan terhadap kerja Saksi-Saksi Yehuwa. Para saudara di Zambia terus menyokong kegiatan rakan seiman mereka di Malawi untuk dua tahun seterusnya. Kemudian, dua buah rumah di bandar Lilongwe telah dibeli untuk digunakan sebagai pejabat cawangan Malawi yang baharu. Pada 1994, Badan Pimpinan telah meluluskan rancangan untuk mencari hartanah yang sesuai dan membina bangunan Bethel yang baharu. Semasa pentahbisan pejabat cawangan Malawi pada 19 Mei 2001, lebih daripada 2,000 saudara saudari telah menghadiri acara itu. Ramai antara mereka telah menghadapi penganiayaan selama bertahun-tahun dengan setia dan tabah. Saudara Trophim Nsomba, yang berkhidmat sebagai penyelia litar semasa kerja kita disekat, turut menghadiri program pentahbisan itu. Mengenai pejabat cawangan yang baharu dan pertumbuhan pesat Saksi-Saksi Yehuwa di Malawi, Saudara Nsomba kata, “Saya dan isteri saya berasa sangat kagum atas semua berkat ini daripada Yehuwa. Kami berasa seolah-olah seperti kami sedang bermimpi!”

Kini, lebih daripada 109,000 penyiar berkhidmat dalam 1,924 sidang di Malawi. Seramai 225 saudara saudari berkhidmat di pejabat cawangan di Lilongwe. Cawangan ini juga menyelia kerja penterjemahan bahan bacaan Bible ke dalam tujuh bahasa.

Kira-kira 109,000 saudara saudari berkhidmat dengan setia kepada Yehuwa di Malawi pada hari ini

Saudara saudari kita di Malawi telah menunjukkan bahawa mereka ialah hamba Tuhan melalui ketabahan dan kesetiaan mereka selama bertahun-tahun. (2 Korintus 6:4) Kita berdoa agar Yehuwa terus memberkati mereka dengan berlimpah-limpah.