13 SEPTEMBER 2023
MEXICO
Empat Buku Pertama dalam Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Low German
Pada 25 Ogos 2023, Saudara Robert Batko, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, telah mengumumkan pengeluaran empat buku pertama dalam Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Low German. Pengumuman ini dibuat semasa hari pertama Konvensyen Serantau “Teruslah Bersabar!” dalam bahasa Low German di Cuauhtémoc, Chihuahua, Mexico. Seramai 355 orang telah menghadiri program ini. Pengeluaran itu tersedia dalam bentuk digital dan audio sejurus selepas pengumuman itu dibuat. Selain itu, salinan bercetak Bible—Berita Baik Menurut Matius juga diedarkan kepada hadirin. Buku Markus, Lukas, dan Yohanes akan tersedia dalam bentuk cetakan selepas seluruh Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dikeluarkan dalam bahasa Low German. Variasi bahasa Low German ini digunakan di Amerika Utara dan Amerika Selatan, dan banyak orang menuturkannya di Mexico.
Terjemahan Bible ini telah membawa banyak manfaat kepada saudara saudari dan orang ramai. “Versi Bible yang kami gunakan sekarang tidak mempunyai tanda petikan. Jadi sangat susah untuk mengenal pasti siapa yang sedang bercakap dan dia sedang bercakap kepada siapa,” kata seorang saudara. “Terjemahan baharu ini lebih senang faham.”
Kita turut bersukacita dengan saudara saudari yang berbahasa Low German atas pengeluaran ini. Kita juga yakin bahawa terjemahan Bible ini akan bantu lebih ramai orang untuk “memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.”—1 Timotius 2:3, 4.