Lompat ke kandungan

1 NOVEMBER 2019
MEXICO

Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Maya

Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Maya

Tarikh 25 Oktober 2019 merupakan hari yang bersejarah bagi 6,500 saudara saudari yang berbahasa Maya. Pada hari itu, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam bahasa Maya. Saudara Esteban Bunn, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, telah mengumumkan pengeluaran itu semasa konvensyen serantau di Mérida, Yucatán, Mexico. Acara itu berlangsung di Dewan Perhimpunan Mérida dan disiarkan ke arena Poliforum Zamná, yang terletak di bandar yang sama. Terjemahan yang baharu ini sangat bermanfaat kepada para penyiar dalam kerja penyebaran kerana terdapat kira-kira 762,000 orang yang menuturkan bahasa Maya di Mexico dan Amerika Syarikat.

Sebelum ini, hanya terdapat Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Maya yang dikeluarkan pada 14 Disember 2012. Sejak itu, hampir 29,000 Bible itu telah dicetak.

Seorang penterjemah berkata, “Kebanyakan orang yang berbahasa Maya menganggap Bible sangat berharga dan apa yang tertulis di dalamnya harus diikuti. Tetapi ramai antara mereka tidak memahami bahasa yang terlalu mendalam. Jadi, kami berusaha untuk menggunakan bahasa seharian dengan kata-kata yang jelas dan mudah difahami.”

Salah satu cabaran utama bagi para penterjemah bahasa Maya ialah bahasa tersebut berbeza-beza menurut daerah masing-masing. Maka, kulit depan terjemahan baharu ini menggunakan tajuk yang lebih mudah, iaitu Biblia ich maya, yang bermaksud “Bible dalam bahasa Maya.” Selain itu, terdapat lebih daripada 6,000 nota kaki. Kebanyakan daripadanya mengandungi kata-kata lain yang mempunyai maksud yang sama dengan kata-kata di teks utama Bible. Oleh itu, pembaca dapat memahami ayat-ayat Bible dengan lebih tepat.

Sudah tentu, edisi terjemahan baharu ini merupakan “makanan [rohani] pada masa yang sesuai” dan akan membantu saudara saudari yang berbahasa Maya dalam pembelajaran peribadi serta kerja penyebaran mereka.—Matius 24:45.