31 OKTOBER 2019
MEXICO
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Tzotzil
Pada 25 Oktober 2019, Saudara Armando Ochoa, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, telah mengumumkan pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Tzotzil semasa konvensyen serantau di Poliforum Tuxtla Gutiérrez, di Chiapas, Mexico. Acara ini juga disiarkan ke Centro de Convenciones. Jumlah hadirin ialah 3,747 orang.
Sebelum ini, Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Tzotzil telah dikeluarkan pada 26 Disember 2014. Kitab itu telah diedarkan kepada orang berbahasa Tzotzil yang kebanyakannya tinggal di kawasan pergunungan dan tanah rendah di wilayah Chiapas, Mexico. Terdapat lebih daripada 16,000,000 penduduk peribumi di Mexico dan kira-kira 500,000 daripadanya berbahasa Tzotzil, termasuk 2,814 Saksi-Saksi Yehuwa.
Para penterjemah bahasa Tzotzil menghadapi banyak cabaran. Contohnya, terdapat sedikit sahaja bahan bacaan sekular dan beberapa kamus dalam bahasa Tzotzil. Selain itu, bahasa Tzotzil mempunyai tujuh loghat daerah. Maka, para penterjemah harus memilih kata-kata dengan teliti supaya semua pembaca bahasa Tzotzil dapat memahaminya.
Salah seorang penterjemah berkata, “Bible baharu ini menggunakan nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Dengan demikian, pembaca dapat menjalinkan hubungan yang erat dengan-Nya. Terdapat dua terjemahan lain dalam bahasa Tzotzil yang menggunakan nama Tuhan sekali sahaja di nota kaki dalam buku Keluaran. Jadi, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu ini merupakan Bible bahasa Tzotzil yang pertama mengembalikan nama Tuhan ke semua tempat asalnya.” Selain itu, seorang penyiar berbahasa Tzotzil berkata, “Bible lain dalam bahasa Tzotzil agak mahal. Jadi, hanya sedikit orang yang mampu membelinya. Tetapi Bible baharu ini diedarkan kepada semua orang tanpa bayaran.”
Sesungguhnya, Bible baharu ini akan memberikan manfaat kepada semua pembaca bahasa Tzotzil yang “sedar akan keperluan rohani mereka.”—Matius 5:3.