Lompat ke kandungan

19 OGOS 2021
MEXICO

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Mixtec (Guerrero)

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Mixtec (Guerrero)

Pada 8 Ogos 2021, Saudara José Nieto, ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Mixtec (Guerrero). Dalam rakaman program yang disiarkan kepada 785 orang, Bible ini telah dikeluarkan dalam bentuk digital. Pejabat cawangan merancang untuk mencetaknya bermula November 2021 dan menghantarnya ke sidang-sidang pada Disember 2021 atau Januari 2022.

Selepas baca 1 Korintus 14:9, Saudara Nieto menjelaskan, “Bible harus didapati dalam bahasa yang boleh difahami sesiapa pun . . . , bahasa yang digunakan setiap hari. Dengan itu, barulah kuasa Firman Tuhan dapat menyentuh hati orang.”

Mixtec (Guerrero) ialah bahasa nada. Perubahan nada boleh menukar maksud perkataan. Ia dituturkan oleh sekitar 150,000 orang di negeri Guerrero, Mexico, serta di kawasan lain di Mexico dan Amerika Syarikat.

Saudara Lázaro González, ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah berkata, “Penutur bahasa Mixtec (Guerrero) tinggal di kawasan yang miskin dan ada banyak keganasan. Disebabkan pandemik COVID-19, keadaan menjadi lebih teruk lagi. Ini buat ramai orang fikir, Tuhan telah meninggalkan mereka. Tapi, pengeluaran Kitab Yunani ini dalam bahasa ibunda mereka ialah bukti jelas bahawa Yehuwa ambil berat terhadap mereka.”

Sebelum pengeluaran Bible ini, hanya terdapat dua terjemahan Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Mixtec (Guerrero). Dua terjemahan tersebut susah difahami kerana dihasilkan oleh dua komuniti yang berbeza. Para penterjemah telah guna istilah yang hanya biasa di kawasan mereka. Maka, orang dalam komuniti lain rasa lebih susah untuk faham terjemahan mereka.

Satu contoh yang tunjuk bahawa terjemahan baharu ini senang difahami terdapat di Matius 5:9, yang berbunyi, “Berbahagialah orang yang berusaha mewujudkan kedamaian.” Dalam bahasa Mixtec (Guerrero), tidak ada perkataan yang spesifik untuk “damai.” Untuk mengungkapkan makna yang betul, ayat Bible itu telah diterjemahkan sebagai, “Berbahagialah orang yang mencari cara untuk mengelakkan masalah/kekacauan.” Ini selaras dengan makna perkataan itu dalam bahasa Inggeris.

Seorang penterjemah menceritakan, “Salah satu ayat Bible kegemaran saya ialah 1 Petrus 1:25, yang kata bahawa ‘firman Yehuwa akan kekal buat selama-lamanya.’ Saya tak boleh bayangkan hidup saya tanpa Bible. Saya berterima kasih kepada Yehuwa kerana melindungi dan memelihara Bible sampai hari ini. Sekarang, kami bahkan ada Bible dalam bahasa kami sendiri.”

Seorang lagi penterjemah berkata, “Saya tidak ragu-ragu bahawa Yehuwa telah sokong kami menerusi kuasa suci-Nya. Sekarang, saya lebih yakin bahawa bahasa bukan penghalang bagi Yehuwa. Sekali lagi, Dia tunjuk kita bahawa Firman-Nya ‘tidak dapat dibelenggu.’”—2 Timotius 2:9.