23 JULAI 2021
MEXICO
Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Tojolabal
Pada 18 Julai 2021, Saudara Arturo Manzanares, ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Tojolabal.
Bahasa peribumi Tojolabal dituturkan oleh lebih daripada 66,000 orang. Mereka kebanyakannya tinggal di negeri Chiapas, yang berjiran dengan Guatemala dan terletak di bahagian tenggara Mexico. Dalam rakaman program yang disiarkan kepada kira-kira 2,800 orang, Bible itu dikeluarkan dalam bentuk elektronik.
Semasa program, penceramah bertanya, “Mengapa kita perlu terjemahan Bible bahasa Tojolabal?” Dia seterusnya menjawab, “Kerana adalah penting untuk ada Bible yang memberi pujian sewajarnya kepada Pengarang Bible, Yehuwa.”
Seorang saudari yang bantu dalam terjemahan Bible itu berkata, “Hati saya tersentuh apabila membaca Yohanes 5:28, 29. Saya boleh bayangkan ibu saya dibangkitkan. Memang saya ada baca ayat itu banyak kali dalam bahasa Sepanyol, tapi bila saya membacanya dalam bahasa ibunda, ia jadi lebih bermakna. Ribuan terima kasih!”
Semasa projek itu, kumpulan penterjemah berpindah dari pejabat cawangan Amerika Tengah yang berdekatan Bandar Mexico, ke pejabat penterjemahan baharu di Las Margaritas, Chiapas. Pejabat ini terletak di kawasan yang menuturkan bahasa Tojolabal, yang terletak sejauh 990 kilometer dari pejabat cawangan. Kini, terdapat sembilan penterjemah yang bekerja sepenuh masa di situ, bersama dengan lima saudara yang bekerja dalam bahagian-bahagian lain. Meskipun penutur Tojolabal dari kawasan berlainan boleh memahami satu sama lain, kadangkala cara sesetengah ungkapan digunakan sedikit berbeza. Maka, penterjemah memastikan bahawa Bible itu diterjemahkan dengan tepat dan dapat difahami oleh kebanyakan orang.
Misalnya, Bible lain terjemahkan “Kerajaan Tuhan” sebagai “tempat di mana Tuhan memerintah” atau “kota (atau bandar) Tuhan.” Tapi istilah-istilah itu tidak bermakna bagi pembaca yang tidak guna ungkapan sedemikian. Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Tojolabal pula menggunakan ungkapan “Kerajaan Tuhan,” yang lebih mudah difahami.
Seorang saudari yang menghadiri program itu berkata, “Sememangnya, Yehuwa telah bimbing semua orang yang terlibat dalam projek ini untuk hasilkan terjemahan yang jelas, tepat, dan mudah dibaca. Saya yakin hadiah ini akan menyentuh hati ramai orang yang belum lagi kenal Tuhan.”—Kisah 17:27.