Lompat ke kandungan

Lebih daripada 42,000 penyiar menawarkan diri untuk menyelesaikan projek bantuan kemanusiaan di Amerika Tengah.

12 APRIL 2019
MEXICO

Selepas Gempa Bumi yang Dahsyat, Saksi-Saksi Yehuwa Menyelesaikan Projek Bantuan Bencana di Amerika Tengah

Selepas Gempa Bumi yang Dahsyat, Saksi-Saksi Yehuwa Menyelesaikan Projek Bantuan Bencana di Amerika Tengah

Pada tahun 2017, dua gempa bumi yang dahsyat telah berlaku di Guatemala dan Mexico. Pada bulan Disember 2018, saudara saudari kita menyelesaikan projek bantuan kemanusiaan yang besar di situ.

Pejabat cawangan Amerika Tengah mula menyelia kerja bantuan kemanusiaan dengan mengaturkan beberapa perjumpaan untuk menggalakkan saudara saudari yang menjadi mangsa bencana. Perjumpaan-perjumpaan itu diadakan di Chiapas, Morelos, Oaxaca, Puebla, dan Bandar Raya Mexico. Sebanyak 39 buah Jawatankuasa Bantuan Bencana berganding bahu dengan Jawatankuasa Cawangan yang menyelia kerja bantuan kemanusiaan itu.

Jesse Pérez, salah seorang ahli Jawatankuasa Pejabat Cawangan Amerika Tengah, bertemu dengan para penyiar yang menjadi mangsa bencana di Morelos.

Dua orang saudara sedang memasang rangka bumbung sebuah Dewan Perhimpunan semasa projek bantuan kemanusiaan.

Di Mexico, lebih daripada 42,000 penyiar dari sepuluh buah wilayah yang berlainan telah merelakan diri untuk projek bantuan kemanusiaan itu. Mereka membina 619 buah rumah, 5 buah Dewan Perjumpaan, dan 2 buah Dewan Perhimpunan. Mereka juga turut membaiki 502 buah rumah dan 53 buah Dewan Perjumpaan. Di Guatemala pula, sepuluh buah rumah telah dibina semula.

Antara Saksi-Saksi yang menerima bantuan ialah keluarga Hernández dan Santiago.

Keluarga Hernández berdiri di depan rumah mereka yang dibina semula oleh para sukarelawan.

Keluarga Hernández tinggal di bandar Chalco, hanya 40 kilometer dari Bandar Raya Mexico. Rumah mereka musnah sama sekali semasa gempa bumi berlaku pada 19 September 2017. Saudari Ana María Hernández menjelaskan, “Ketika melalui masa yang sukar itu, kami tidak kekurangan apa-apa pun. Saudara saudari menjaga kami dengan baik sekali. Saya masih ingat seramai 50 atau lebih saudara saudari yang berganding bahu membina sebuah rumah baharu bagi kami. Sampai hari ini, jiran-jiran kami rasa kagum dengan apa yang saudara saudari kami lakukan demi kami.” Selain bantuan praktikal, seorang wakil bagi cawangan Amerika Tengah telah melawat keluarga Hernández dan memberikan kelegaan hati menerusi Firman Tuhan.

Keluarga Santiago berdiri di depan rumah baharu mereka.

Keluarga Santiago tinggal di bandar Juchitán, Oaxaca. Rumah mereka musnah semasa gempa bumi berlaku pada 7 September 2017. Namun, dalam masa kurang daripada enam bulan, para sukarelawan selesai membina sebuah rumah yang baharu untuk mereka. Ayah keluarga itu yang bernama Saudara Victor Santiago berkata, “Saya sangat kagum melihat betapa cepatnya organisasi Yehuwa menghulurkan bantuan yang diperlukan. Saya yakin bahawa Yehuwa sedang mengawal semuanya.”

Saudara Jesse Pérez, salah seorang ahli Jawatankuasa Pejabat Cawangan Amerika Tengah berkata, “Kemusnahan akibat dua gempa bumi itu memang teruk. Namun, projek bantuan kemanusiaan yang besar itu telah membuka peluang bagi saudara saudari untuk menunjukkan semangat rela berkorban. Ramai penyiar membantu dan memperlihatkan kasih persaudaraan mereka. Kami bersukacita kerana Yehuwa memberkati usaha mereka yang ‘mengambil bahagian untuk membantu.’”—2 Korintus 8:1-4.